MIRI – Dua lelaki rakyat tempatan serta 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Imigresen di dua lokasi berasingan pada 10.15 pagi tadi.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 12 Miri Supt Tan Hiap Seng berkata dua lelaki dipercayai majikan kepada PATI yang ditangkap berumur 42 dan 53 tahun ditahan di tapak pembinaan projek perumahan di Jalan Airport dan Jalan Luak Miri.
“Seramai 13 orang PATI termasuk dua wanita berumur 18 dan 60 tahun ditangkap kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tan berkata siasatan awal mendapati tujuh PATI yang ditangkap tersebut merupakan warga Indonesia manakala enam berbangsa Suluk dari Filipina.
“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Depot Imigresen Bekenu dan kes telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Miri untuk tindakan lanjut,”katanya lagi. – BERNAMA