KEMAMAN – Dua beranak maut dalam satu kemalangan di kilometer 122, Jalan Jerangau-Jabor, Kampung Padang Kubu selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di sini, tengah hari tadi.
Dalam kemalangan itu, mangsa yang dikenali sebagai Norhayati Ali, 55, dan anak perempuannya, Nur Dini Syaqirah Abu Seman, 21, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, anak lelaki mangsa Mohd Shahrul Aiman,23, dan cucunya berumur empat tahun yang turut sama terlibat dalam kemalangan terbabit mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Kemaman.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Mohd Shahrul terbabas dan bertembung dengan kenderaan Toyota Hilux yang dinaiki empat lelaki.
Mohd Shahrul dan keluarganya dipercayai dalam perjalanan dari Melor, Kota Baharu, Kelantan menuju ke Kuantan, Pahang.
Pemandu Toyota Hilux bersama tiga penumpang turut cedera dan menerima rawatan di hospital yang sama.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu. – BERNAMA