SEPANG – Pengarah Pasukan Movistar Yamaha MotoGP, Massimo Meregalli memberi pujian penuh selepas dua pelumba pasukan itu, Maverick Vinales dan juara dunia sembilan kali Valentino Rossi menamatkan cabaran hari kedua ujian pra musim MotoGP 2018 dengan masing–masing menduduki posisi pertama dan kedua hari ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan itu hari ini, Meregalli berkata kedua-dua mereka menampilkan aksi bertenaga dan dapat mengendalikan jentera dengan baik serta menguji sistem aerodinamik yang baharu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
“Kami mencapai kemajuan selanjutnya hari ini. Kami terlepas masa ujian selama beberapa jam pada sesi pagi tetapi kami masih mengikut jadual. Maverick dan Vale benar-benar memberi tumpuan kepada tunggangan menggunakan tayar terpakai dan telah membuagt penambaikan pada tayar.
“Mereka dapat mengawal tunggangan dan menguji sistem aerodinamik yang baharu dan hasil yang positif.
“Kami masih perlu menjalani ujian kira-kira empat atau lima jam esok untuk membolehkan kami menamatkan jadual,” kata beliau.
Sementara itu, Vinales yang menggegarkan lintar sepanjang 5.543 kilometer itu dengan kepantasan satu minit dan 59.355 saat masih banyak yang perlu dilakukan untuk persiapan elektronik menjelang hari terakhir ujian pra musim esok.
“Hari Kedua berjalan dengan amat lancar. saya berasa amat selesa dengan jentera yang saya tunggangi.
“Kami akan mengikut pelan yang sama esok dan kami sedang berusaha untuk memperbaiki prestasi dalam keadaan cuaca panas bagi mengatasi masalah yang dihadapi tahun lepas. Saya fikir ia hari yang positif dan saya bersedia untuk lebih berusaha esok,” kata beliau.
Sementara itu, Rossi yang mencatatkan masa 1:59.390s berasa gembira dengan sisrem baharu itu kerana ia membantu mereka untuk memperbaiki kelajuan dan masa pusingan.
“Saya fikir saya telah berjaya mencatatkan masa terpantas peribadi di Sepang hari ini kerana catatan 1:59.3 saat adalah baik. Ia menyaksikan saingan sengit, semua pelumba terkenal dijangka memberi cabaran dan ini amat menarik.
Hari terakhir ujian pra musim selama tiga hari berlangsung esok dengan litar dibuka dari jam 10 pagi hingga 6 petang. – BERNAMA