GEORGE TOWN – Polis menahan dua remaja lelaki dan memburu dua lagi rakan mereka kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT), dekat sini.
Ketua Polis Daerah SPT, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata remaja berusia 13 dan 15 tahun itu ditahan di Jalan Perniagaan Alma 2, dekat sini pada 4.45 pagi ini selepas polis menerima laporan daripada pemilik rumah yang dipecah masuk mereka di Taman Impian Alma.
“Pemilik rumah itu menyedari kediamannya dimasuki pencuri apabila terjaga dan ternampak cahaya lampu suluh dalam biliknya dan sebaik dia bangun, suspek melarikan diri. Antara barang yang dilapor hilang ialah telefon bimbit dan wang tunai RM7,000,” katanya.
Katanya dua remaja itu yang dibuang sekolah tahun lepas kerana terlibat kes jenayah dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah sejak bulan lepas dan mereka kini direman untuk siasatan.
Sementara itu, katanya polis menahan dua remaja lelaki berusia 16 dan 18 tahun disyaki geng curi motosikal dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru Alma, dekat sini semalam.
Nik Ros Azhan berkata dua remaja yang positif dadah dan tidak lagi bersekolah itu ditahan kira-kira pukul 5 petang dan polis turut merampas dua motosikal curi serta sejumlah rangka dan pelbagai komponen motosikal di rumah itu. – BERNAMA