KANGAR – Tiga anak Perlis adalah antara 22 pelajar di seluruh negara yang terpilih mewakili Malaysia ke Jepun bagi program pertukaran pelajar Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths 2018 (JENESYS 2018) bermula 29 Jan hingga 6 Feb ini.
Pelajar berkenaan ialah Noorulayuni Atiqah Yaacob dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP); Nur Syafiqah Iman Khalil dan Nur Basirah Rasid, masing-masing mewakili Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).
Menurut kenyataan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis hari ini, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima kunjungan hormat ketiga-tiga pelajar berkenaan di pejabat baginda di Wisma Bumita di sini, hari ini.
Setiausaha YTSP Datuk Johari Mohd Darus dan Rektor KUIPs Dr Mohd Mizan Mohamad Aslam turut hadir.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Pengerusi YTSP menasihatkan ketiga-tiga pelajar tersebut memanfaatkan sepenuhnya peluang menyertai program itu dengan menghayati dan mempraktikkan amalan baik yang diamalkan oleh masyarakat Jepun.
Sementara itu, Johari berkata pelajar yang terpilih akan menyertai pelbagai aktiviti semasa di Jepun antaranya tinggal bersama keluarga angkat, melawat muzium dan melawat beberapa wilayah di luar Tokyo.
Program tersebut antara lain bertujuan mempromosikan budaya hidup masyarakat Jepun kepada rakyat asing dari Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Latin. – BERNAMA