KRABI – Tujuh orang yang cedera dalam letupan sebuah bot laju di Krabi pada Ahad masih menerima rawatan di hospital sementara pegawai agensi berkaitan kini mengumpul bukti untuk menentukan punca insiden itu berlaku, lapor Agensi Berita Thailand (TNA).
Pakar forensik serta pegawai agensi terbabit termasuk dari pejabat marin serantau, taman negara marin dan polis telah memeriksa serpihan bot laju King Poseidon 959, yang meletup berhampiran Gua Viking, sebuah destinasi pelancongan terkenal.
Polis telah mengumpulkan bukti dan menyoal siasat kru mengenai keadaan enjin sebelum bot itu meninggalkan pantai.
Mereka turut memeriksa jika ada pelancong yang merokok ketika dalam perjalanan bagi mengenepikan kemungkinan itu sebagai punca insiden.
Ketika kejadian, bot itu membawa 28 pelancong dan tiga pemandu pelancong dari Pulau Phuket ke Pulau Phi Phi.
Ketika bot itu melewati Gua Viking, pemandunya mengesan telah berlaku kebocoran minyak dan sedang memeriksa enjin apabila letupan dikatakan berlaku.
Letupan itu menyebabkan bot terbakar dan ini memaksa semua penumpang terjun ke laut.
Enam belas orang cedera dalam insiden itu dan empat daripada mereka parah.
Pada Isnin, sembilan daripada mereka telah dibenarkan keluar dari hospital.
Pemandu bot, Kriengkrai Boonsri, 28, kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Krabi.
Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Weerasak Kowsurat, yang menziarahi mangsa di hospital itu pada Ahad, berkata pelancong China yang menerima rawatan di Hospital Antarabangsa Krabi Nakharin mengalami kebakaran tahap dua dengan 30 hingga 50 peratus tubuh mereka melecur. – BERNAMA