KUCHING – Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menggesa usahawan kecil dan sederhana serta individu supaya lebih tangkas dan bersikap terbuka bagi membolehkan mereka memanfaatkan sepenuhnya kemudahan disediakan untuk menjadi lebih inovatif dan berdaya saing.
Beliau berkata, paling penting, mereka perlu memiliki penetapan minda serta mengguna pakai teknologi digital masa depan.
“Kita perlu bertanya soalan berkaitan tentang bagaimana saya boleh melaksanakan kerja saya dengan lebih baik dan cepat; apakah langkah yang perlu saya ambil untuk menawarkan produk dan perkhidmatan saya ke peringkat antarabangsa dan bagaimana saya boleh membawa teknologi ke pasaran?
Saya percaya, sekiranya kita mendapat jawapan bagi soalan itu, kita akan dapat menarik bakat yang tepat untuk menjadi sebahagian daripada organisasi kita, terutama daripada kalangan belia tempatan,” kata Abang Johari dalam ucapan pada Forum Tenaga Kerja Digital Ekonomi Pacuan Masa Depan Untuk Sarawak dan Selanjutnya di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Abang Johari berkata keperluan menjadi peneraju digital adalah penting untuk memahami budaya kerja baharu yang menjadi amalan tenaga kerja masa depan.
” Menjadi peneraju digital bermakna kita perlu mengubah fokus kita daripada yang bersifat “inside-out kepada outside in’; bersifat menyeluruh dalam pendekatan kita apabila membincangkan tentang pelbagai perkara; berkebolehan menggunakan data analisis untuk membuat keputusan dengan lebih baik dan menggalakkan kerjasama lebih meluas dalam pelbagai industri.
“Dalam hubungan ini, saya gembira kerana mendapati bahawa Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) akan melancarkan Akademi Kepimpinan Digitalnya dengan kerjasama Ferry Hay Group, sejajar dengan Strategi Ekonomi Digital Sarawak bagi memperkasakan kumpulan bakat yang terdapat dalam syarikat korporat berkaitan kerajaan dan organisasai korporat di Sarawak,” kata beliau. – BERNAMA