HANYA kerana secara kebetulan sedang makan keropok cumi iaitu sotong, penyanyi dan komposer Hael Husaini mendapat idea bagi singleĀ terbaharu Nabila Razli yang meletup baru-baru ini.
Menurut Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 30, idea itu datang secara tiba-tiba kerana dia sendiri tidak menyangka perkataan ‘cumi cumi’ atau ‘cuba misscall‘ itu akan menjadi sebutan ramai.
“Semuanya terjadi secara kebetulan ketika saya sedang asyik makan keropok cumi. Saya mempelawa Ezra makan sekali, sambil menyebut perkataan cumi beberapa kali.
“Lantas, saya dan Ezra saling berpandangan apabila terpacul perkataan cumi itu. Apa lagi, fikiran kami mula melayang ke satu sudut. Dia main gitar dan saya pula ambil bahagian dalam bab melodi,” katanya dipetik daripada BH Online.
Tambah Hael lagi, selepas mendapat idea itu, dia terus sahaja jamming lagu tersebut bagi mendapatkan rentak dan melodinya.
Selain itu, dia turut melakukan sedikit kajian mengenai pekataan cumi (cuba misscall) itu sendiri. Namun sebenarnya lagu tersebut merupakan idea yang datang secara tiba-tiba.
Selain itu, menurut Hael terdapat satu lagi single yang dirancang untuk diberi kepada Nabila sendiri.
“Namun, selepas muncul idea ‘cumi’ itu, perancangan single untuk Nabila ditukar. Saya dan Ezra berasakan lagu ‘cumi’ ini lebih sesuai untuknya.
“Untuk menjadikan Pematah Hati lebih dramatik dan dekat dengan pendengar, kita kaitkan kisah Nabila sendiri dalam percintaan.
“Tanpa diduga, percaturan menukar single berkenaan membuahkan hasil. Semuanya bagai tersusun cantik untuk Nabila,” ujarnya lagi.
Oleh itu, single yang sepatutnya dinyanyikan oleh Nabila itu akan disimpan terlebih dahulu dan mungkin ianya akan diberikan kepada penyanyi lain.
Kini, muzik video lagu Pematah Hati sudah ditonton sebanyak hampir 12 juta kali tontonan di Youtube!
Bukan biasa-biasa fenomena ‘cumi cumi’ yang Hael rancangkan ni! Macam jadi lagu ‘berhantu’ pula.
Hael dan Ezra mula bekerjasama sejak mereka menghasilkan single buat penyanyi Amira Othman dan sehingga kini mereka bagaikan sudah mengetahui apa yang masing-masing inginkan.
“Saya dan Ezra sangat selesa bekerjasama. Dia bagai melengkapi apa yang saya usahakan dan boleh diibaratkan sebagai ‘partner in crime‘. Kami mula bekerjasama sejak lagu Hati Hati dendangan Amira Othman, kira-kira tiga tahun lalu,” tambahnya lagi.
Nama Hael Husaini sebagai seorang komposer itu bagaikan sudah menjadi rebutan ramai penyanyi baharu yang inginkan sentuhan magis Hael sendiri.
Sebelum ini, Hael turut dikenali dengan lagu ‘berhantunya’ iaitu Jampi dan dia turut telah mencipta beberapa lagu untuk artis terkenal antaranya Dayang Nurfaizah, Siti Nordiana dan Jaclyn Victor.
Nampaknya ia sedikit sebanyak telah mempengaruhi karier Hael sendiri selepas ini dengan memperbanyakkan lagi lagu yang berkualiti untuk didengar oleh peminat. –Ā MYNEWSHUB.CC / AH