Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Selamba Kencing Ketika Ibu...

KANAK-kanak ini, Owen, menarik perhatian ramai apabila dia `mencuri' detik-detik bahagia ibunya, Allyssa...

5 Bintang Hollywood Dengan...

MASA untuk gembirakan hati kaum wanita di luar sana!Sebelum ini gambar '5 aktor...

6,292 Orang Ditempatkan Semula...

KUALA LUMPUR - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjaya menempatkan seramai 6,292 orang kembali...

Ditahan Polis Sebelum Sempat...

KUALA LUMPUR - Tindakan pantas polis berjaya menghalang dan menahan sekumpulan geng pecah...

Adakah Tun Dr. Mahathir Memang Seorang Diktator?

PENGERUSI Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad sedang berusaha keras untuk meyakinkan golongan muda zaman ini.

Maklumlah mereka tidak mengerti dan memahami tentang corak pemerintahan kerasnya sewaktu menjadi Perdana Menteri dari tahun 1981 hingga 2003 kononnya beliau bukan seorang diktator.

Dr. Kamarul Zaman Yusoff

Penganalisis politik berpengalaman dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, terbaru Mahathir yang bakal dinobatkan semula oleh Pakatan Harapan sebagai Perdana Menteri jika pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sekali lagi menafikan beliau diktator dalam blog pada 17 Januari lalu.

Menurut beliau, perkara itu agak lucu kerana fakta Mahathir seorang diktator bukan sahaja sering dinyatakan oleh pemimpin pembangkang yang kini bersekongkol dengan beliau, tetapi juga oleh pemimpin yang pernah berdamping rapat dengannya dalam UMNO dan kerajaan termasuk Tun Musa Hitam, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau memberi contoh, dalam buku bertajuk “Frankly Speaking” Musa menulis mengenai corak pemerintahan authoritarian Mahathir yang beliau sifatkan satu kegagalan yang amat sangat (“an abject failure”).

Mahathir malahan dikatakan mengelilingkan diri dengan “yes men”, mempunyai pandangan tetap mengenai sesuatu serta membenci perbincangan dan perdebatan.

“Mahathir seorang diktator juga disebut ramai tokoh lain seperti bekas Setiausaha Majlis Peguam Malaysia, Tommy Thomas dalam buku bertajuk “Abuse Of Power” yang menyifatkan Mahathir “a very authoritarian leader who did not brook dissent”.

“Begitu juga penganalisis politik, Barry Wain dalam buku bertajuk “Malaysian Maverick” malah menyifatkan Mahathir sebagai “an uncrowned king”.

“Bahawa Mahathir seorang diktator pernah juga dihuraikan panjang lebar dalam beberapa buah tesis kedoktoran yang dihasilkan oleh cendekiawan Malaysia bahkan oleh cendekiawan beberapa buah universiti ternama di dunia,” katanya dalam satu kenyataan panjang lebar di Facebook hari ini.

Kamarul seterusnya memberi contoh tesis kedoktoran yang menunjukkan Mahathir seorang diktator iaitu tesis oleh Tan Sri Dr. Rais Yatim bertajuk “The Rule Of Law And Executive Power In Malaysia: A Study Of Executive Supremacy” dari King’s College, London, pada 1994.

Juga tesis In-Won Hwang bertajuk “Changing Conflict Configurations And Regime Maintenance In Malaysian Politics: From Consociational Bargaining To Mahathir’s Dominance” dari Australian National University, Canberra pada 2001.

Kata beliau, Mahathir sendiri pada 27 Mac 2016 secara terbuka mengaku bahawa dirinya adalah seorang diktator tetapi mendakwa pemerintahannya itu tidak mendatangkan masalah kepada negara kerana tiada rakyat Malaysia melakukan demonstrasi ke atas beliau sepanjang menjadi Perdana Menteri.

Tambah beliau, Mahathir pernah juga membuat pengakuan sama pada 18 Oktober 2010 dengan mendakwa dirinya “enjoyed” dengan pandangan itu kerana baginya Malaysia hanya boleh maju dengan diperintah oleh seorang diktator seperti yang dilakukannya selama 22 tahun.

Kamarul seterusnya mengemukakan beberapa contoh ilmiah yang jelas mengambarkan bahawa Mahathir adalah pentaksub kepada ideologi diktator berdasarkan kepada ucapan dan kenyataan yang pernah dibuatnya bahawa sistem authoritarian adalah lebih baik berbanding demokrasi.

Menurut beliau, Mahathir dalam ucapannya di “The Second Lecture Of The Ho Rih Hwa Public Lecture Series” di Singapura pada 11 Oktober 2004 menegaskan demokrasi tidak akan menghasilkan kerajaan yang kuat.

Beliau memuji para pemimpin authoritarian Asia terdahulu iaitu “The Meiji Emperor of Japan, the Kings of Siam, Chiang Kai Shek of Taiwan, Deng Xiao Peng di China, Park Chung Hee di South Korea” yang berjaya memajukan negara mereka.


Jelas beliau, Mahathir selepas menyampaikan ucapan bertajuk “Political Stability And Sustainability As A Key Success Factor In Developing Malaysia” di Putrajaya pada 12 April 2006 beranggapan seorang diktator yang baik (“a benevolent dictator”) adalah jalan penyelesaian untuk mengembalikan kestabilan kerana demokrasi gagal membawa ketidakstabilan dan memperlahankan pembangunan ekonomi.

Malah, kata beliau, Mahathir dalam ucapannya di forum “The Creation Of The Global Citizen: Media Liberalisation And The New Political Realities” di Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2010 menegaskan demokrasi adalah satu ideologi yang gagal.

Beliau memuji sistem authoritarian yang diguna pakai oleh China yang telah membawa kemajuan sehingga menjadikan negara itu antara negara terkaya di dunia walaupun tanpa kewujudan “freedom, liberty and equality”.

“Dalam buku beliau bertajuk “A Doctor In The House” pada 2011, Mahathir menyebut tidak boleh berlaku pemisahan kuasa penuh antara Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman dalam demokrasi kerana ia akan menyebabkan negara dibawa ke pelbagai arah.

“Dalam kenyataan beliau selepas menyampaikan ucapan pada “HT Leadership Summit 2011” di New Delhi pada 3 Disember 2011, Mahathir mendakwa India boleh menjadi setanding dengan China jika menjadi “kurang demokratik”.

“Kata beliau, demokrasi tidak sentiasa menjamin kestabilan dan kemakmuran kerana ada waktunya demokrasi boleh melumpuhkan proses pembuatan keputusan,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, Mahathir dalam ucapannya di “The University Santo Tomas’ Special Convocation And Conferment Of Honorary Professorship And The Neo-Centennial Lecture” di Manila pada 11 Jun 2012 pula mendakwa demokrasi tidak menyebabkan rakyat menikmati satu kehidupan yang lebih baik berbanding waktu mereka berada di bawah pemerintahan autokratik.

Menurut beliau lagi, Mahathir pada 29 April 2014 juga menegaskan demokrasi selalu gagal untuk membekalkan negara-negara dengan tadbir-urus baik, manakala kebebasan bersuara, kebebasan media, demonstrasi dan mogok mesti disekat pada kadar yang tertentu.

Justeru, kata beliau, Mahathir tidak sepatutnya membuat perkara yang sia-sia dengan cuba menepis pandangan beliau adalah seorang diktator yang mungkin akan kembali menjadi diktator jika diberi peluang menjawat jawatan Perdana Menteri berdasarkan prinsip pemerintahan dan idelogi diktator beliau.

Beliau turut mempersoalkan apakah yang akan terjadi dengan segala janji Pakatan Harapan kepada rakyat kononnya akan mendemokratikkan sepenuhnya Malaysia jika pembangkang menang PRU14.

Sedangkan Mahathir kekal dengan prinsip diktator dan memperlekehkan sistem demokrasi walaupun selepas diangkat menjadi Pengerusi Pakatan Harapan.

Mahathir yang diketahui memiliki dana yang besar berjaya mengangkat dirinya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan hanya selepas beberapa bulan menyertai gabungan parti pembangkang tersebut.

Beliau seterusnya berjaya melobi pimpinan tertinggi Pakatan Harapan supaya dicalonkan sebagai Perdana Menteri jika pembangkang menang PRU Ke-14 walaupun mendapat tentangan sebahagian besar penyokong pembangkang. – MYNEWSHUB.CC

Kategori