KUALA LUMPUR – Forum dan Pameran Pelaburan dan Keusahawanan Tahunan Arab (AFEIE) 2018 akan menjadi pintu masuk untuk syarikat Asia Barat mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia, menurut Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-Timur Tengah (MyMec).
Pengerusi MyMec, Datuk Fathulbari Mat Jahya berkata, setakat ini 50 syarikat daripada pelbagai sektor di Arab Saudi, Mesir, Emiriyah Arab Bersatu, Kuwait, Oman dan Yaman mengesahkan penyertaan mereka dalam acara itu.
“Tujuan utama kita adalah menarik syarikat Asia Barat mengembangkan perniagaan mereka di sini dan melabur dalam negara, khususnya dalam sektor hartanah, pembuatan dan pertanian.
“Kita juga akan mengadakan sesi suai padan perniagaan antara firma Asia Barat dan tempatan semasa acara itu,” katanya semasa sidang media mengenai AFEIE 2018 di sini, hari ini.
Mengenai pelaburan oleh syarikat Asia Barat di Malaysia, Fathulbari berkata ia semakin meningkat kukuh beberapa tahun kebelakangan ini dan mencatat purata US$30 bilion pada 2015.
Acara AFEIEI 2018 yang julung-julung kali diadakan itu akan berlangsung pada 23 hingga 24 Jan ini di JW Marriott, Kuala Lumpur.
Ia dianjurkan oleh Arabi Media Group Sdn Bhd dan Findhome Sdn Bhd, dengan kerjasama MyMec. – BERNAMA