USAHAWAN, Datuk Seri Aliff Syukri dilaporkan mengakui salah kerana menggunakan cukai jalan kenderaan didaftarkan di Sarawak untuk kereta mewah miliknya yang disita, malam Ahad lalu.
Pemilik nama sebenar Aliff Syukri Kamarzaman itu namun berkata, beliau enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu dan akur dengan segala keputusan serta hukuman yang akan diterima.
“Memang saya salah sebab saya cuai dan akan bersedia membayar denda atas kesalahan ini.
“Saya harap mereka di luar sana tidak lagi mengecam saya atas kesalahan ini kerana sebagai manusia biasa saya juga melakukan kesilapan,” katanya dipetik sebuah portal online.
Menurut Aliff lagi, beliau menganggap apa yang berlaku itu sebagai satu pengajaran sekali gus memohon agar tiada lagi pihak yang mengecam dirinya.
“Saya anggap ini sebagai satu cabaran buat saya. Tetapi pihak netizen juga kalau boleh janganlah menghukum saya ibaratnya saya membuat satu kesalahan yang besar seperti membunuh dan merogol,” ujarnya.
Aliff berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu kereta mewah jenis Rolls Royce miliknya yang ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), baru-baru ini.
Terdahulu, kereta mewah milik Aliff jenis Rolls Royce telah disita oleh JPJ dalam satu operasi yang dijalankan di Bangsar, Kuala Lumpur pada 31 Disember lepas.
Pemeriksaan susulan JPJ mendapati kenderaan dinaiki oleh dua warga asing yang turut diberkas kerana tiada dokumen perjalanan sah selain mempamerkan nombor plat tidak ikut spesifikasi. – MYNEWSHUB.CC/AM