KUALA LUMPUR – Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) hari ini menamatkan amaran cuaca waspada (peringkat kuning) untuk Sabah berikutan keadaan cuaca di negeri itu yang bertambah baik.
NDCC dalam kenyataan berkata Jabatan Meteorologi Malaysia juga meramalkan tiada jangkaan hujan lebat akan berlaku dalam tempoh terdekat di negeri itu.
“Amaran cuaca yang dikeluarkan pada 4 petang, 6 Jan dengan ini ditamatkan,” katanya.
Bagaimanapun, NDCC menasihatkan semua pihak agar mengekalkan keadaan siap sedia sekiranya kemungkinan berlaku lagi hujan lebat berterusan yang boleh mengakibatkan banjir. – BERNAMA