KATA orang, mula-mula asyik usik-mengusik antara satu sama lain… Lama-lama nanti berjodoh pula!
Hubungan ‘mesra’ antara penyanyi lagu Hati-Hati, Amira Othman dengan Penyampai Radio ERA, Radin, kini telah berjaya dihidu oleh peminat!
Namun, bagi Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 25, usikan Radin di laman Instagramnya itu hanyalah gurauan semata-mata dan tiada langsung maksud yang tersembunyi.
“Dia bukan ‘mengorat’ saya saja, tetapi artis lain juga. Dia rajin buat ‘pick up line’. Kami tiada apa-apa pun, sekadar kawan-kawan industri.
“Saya harap, tiada pihak yang salah faham pula. Dia memang suka menyakat saya,” katanya dipetik daripada BH Online.
Amira dan Radin atau nama sebenarnya, Radin Amir Effendi, 28, telah bersahabat baik sejak beberapa ketika dahulu.
Mereka juga telah bergandingan menjadi penyampai anugerah dalam acara Era Digital Muzik Award 2017 baru-baru ini.
Bagi Amira, dia tidak mahu bakal penyeri hidupnya itu asalnya daripada orang industri kerana mengakui bahawa dia mempunyai sifat cemburu yang kuat didalam dirinya.
Tapi, kata orang kalau dah jodoh tu, yang kita tak nak tu lah yang kita akan dapat.
“Kalau boleh, saya nak elak daripada mempunyai teman lelaki daripada kalangan artis kerana saya kuat cemburu.
“Biarlah lelaki itu bekerja di luar industri seni. Apa pun, mama saya kata, perkara yang kita tak suka itulah yang akan kita dapat. Jadi, saya tidak mahu bercakap besar,” katanya sambil ketawa.
Dalam perkembangan lain, Amira telah berjaya menghasilkan single ketiganya yang bertajuk Mimpi Indah selepas berjaya menghasilkan lagu ‘berhantu’, Hati-Hati dan Jaga-Jaga.
Lagu Mimpi IndahĀ merupakan hasil ciptaan penyanyi serba boleh, Hael Husaini serta turut diterbitkan oleh Edry Abdul Halim dan dalam singlenya kali ini, terdapat beberapa keistimewaan yang tersendiri.
“Genrenya bagaimanapun tetap lebih kurang sama kerana kami mahu mengekalkan konsep Hati-Hati dan Jaga-Jaga.
“Namun, kami memperlahankan sedikit tempoh Mimpi Indah, ala-ala lagu dodoi, dan atas sebab itu jugalah saya memilih judul Mimpi Indah,” kata Amira yang juga merupakan kakak kepada penyanyi Irfan Haris.
Buah tangannya kali ini mempunyai kelainan yang tersendiri dari segi liriknya dan turut sesuai bagi sesiapa yang sedang dalam ‘demam’ percintaan.
Lagu itu juga dapat menggambarkan perasaaan seorang kekasih yang merindui kekasih hatinya ketika mereka berjauhan.
Amira turut berharap agar singlenya kali ini akan diterima oleh peminat kerana dia akui bahawa para peminatnya telah meletakkan harapan yang tinggi terhadap lagunya yang terdahulu.
“Saya seorang yang cerewet dalam memilih melodi dan perkara itu membuatkan saya mengambil masa lama untuk mencari lagu sesuai.
“Pada saya, sesebuah lagu yang bagus dapat menaikkan nama seseorang penyanyi. Saya pula memang mementingkan kualiti berbanding kuantiti,” ujarnya lagi.
Selain itu, kelainan yang terdapat dalam lagu berkenaan ialah apabila Amira telah menyelitkan sebuah puisi hasil nukilan peminatnya.
Tujuannya menyelitkan puisi itu ialah bertujuan untuk memberi penghargaan dan peluang kepada peminatnya untuk turut sama menghasilkan video tersebut.
“Saya dapat banyak kiriman puisi cinta daripada peminat. Tidak sangka ramai yang kreatif dan mempunyai pengalaman dalam percintaan jarak jauh.
“Dalam banyak-banyak puisi itu pula, saya pilih nukilan daripada ‘Farddmottidin’ yang saya rasa paling bersesuaian dengan lagu ini,” tambahnya lagi.
Penampilan khas pelakon kacak, Idris Khan juga turut membantu untuk menaikkan lagi aura lagu tersebut yang diarahkan oleh produksi The Malaya. –Ā MYNEWSHUB.CC/AH