PUTRAJAYA – Anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) tidak sama kategori dengan anggota Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (PVR) dan tidak layak untuk memohon sebagai kategori pengundi pos, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.
Beliau berkata pihaknya menolak dakwaan pihak tertentu kononnya terdapat hampir empat juta pengundi pos akan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang dan sebahagian besar daripadanya merupakan anggota RELA yang disalah erti sebagai termasuk dalam kategori anggota PVR.
“Dalam hal ini SPR ingin menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan berniat untuk mengelirukan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, di bawah Perkara 3(1) hingga (4) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 menetapkan mana-mana warganegara yang telah mendaftar sebagai pemilih boleh mengundi secara pos dengan syarat mereka perlu tergolong dalam satu daripada kategori yang ditetapkan SPR.
“Kemudahan pengundian pos yang diberikan kepada kategori pemilih berkenaan bukanlah secara automatik kepada semua anggota berkenaan tetapi ia hanya tertakluk kepada anggota yang dikehendaki menjalankan tugas pada hari mengundi.
“Mereka hendaklah memohon sebagai pengundi pos dengan perakuan oleh Ketua Jabatan masing-masing apabila tempoh permohonan dibuka oleh SPR melalui pemakluman rasmi. Mereka yang tidak memohon adalah tidak layak untuk mengundi sebagai pengundi pos,” katanya.
Mohd Hashim berkata jumlah sebenar anggota dalam kategori yang terlibat dengan pengundian secara pos itu hanya dapat diketahui secara tepat setelah permohonan itu dibuka dan diterima.
“SPR akan menyemak semua permohonan undi pos itu bagi memastikan hanya mereka yang layak sahaja sebagaimana dalam warta diberi kemudahan pengundian pos,” katanya.
Mengenai saranan supaya SPR mengamalkan pengiraan undi awal pada hari yang sama selepas pengundian sepertimana yang dilakukan negara lain, beliau berkata SPR berpandangan ia adalah tidak praktikal kerana ia akan mempengaruhi pola pengundian pada hari mengundi.
“Jika sebahagian keputusan telah diketahui lebih awal ia dikhuatiri akan mempengaruhi sentimen sesetengah pihak dan akan menjejaskan pola pengundian.
“Bahkan sela hari selama dua hari sebelum hari mengundi juga dikhuatiri akan menggalakkan berlakunya situasi di luar kawalan terutama dalam aspek salah laku kempen dan keselamatan awam,” katanya. – BERNAMA