KUANTAN – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang buat julung kalinya menubuhkan satu platun anggota APM komuniti Orang Asli dengan 33 orang dari perkampungan Orang Asli, Batu 55, Maran, mendaftar diri sebagai anggota pertama menyertai pasukan itu, semalam.
Pengarah APM Pahang, Kol (PA) Zainal Yusof berkata, pihaknya mula mengedar borang pengambilan anggota di kawasan berkenaan pada awal bulan ini dan ia mendapat sambutan menggalakkan, sekali gus menunjukkan satu perkembangan positif terhadap usaha untuk menarik lebih ramai Orang Asli menyertai agensi itu.
“Penubuhan ini, merupakan inisiatif Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dalam membantu perkampungan Orang Asli yang sering terkandas dengan bencana banjir dan dengan tertubuhnya platun pertama ini, bantuan dapat disampaikan dengan lebih cepat dan efisien,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.
Unit berkenaan, katanya, akan diperluaskan ke seluruh Pahang secara berperingkat sehingga selesai pengambilan di kesemua 11 daerah di negeri ini.
Selain Pahang, katanya, unit itu juga telah diwujudkan serentak di Kelantan, Terengganu dan Perak semalam. – BERNAMA