SEORANG wanita telah berkongsi keadaan dirinya yang kelihatan `hodoh’ selepas menjalani pembedahan hidung yang menyaksikan implan yang ditanam di bahagian hidung itu terbuka hingga menampakkan silikon.
Wanita yang berasal dari Thailand itu menunjukkan bagaimana pembedahan plastik yang murah yang dijalani di sebuah klinik telah mengakibatkan wajahnya kelihatan menakutkan.
Lebih malang adalah klinik terbabit enggan membantunya dan enggan bertanggungjawab terhadap wanita yang tidak dinamakan itu.
Bagaimanapun tidak pula diketahui sama ada wanita yang berasal dari Hatyai itu mahu mengambil tindakan undang-undang atau tidak.
Menurut wanita itu, dia mengalami jangkitan selepas menjalani pembedahan untuk memasukkan silikon ke hidungnya. Wajahnya berasa melecur dan tidak lama kemudian silikon itu mula kelihatan.
Dia terpaksa meminta bantuan di sebuah hospital pembedahan plastik di Bangkok dan nasib baik hospital berkenaan menyediakan rawatan percuma untuknya dengan membuang semula implan terbabit.
Gambar itu kemudian menjadi tular di media sosial malah klinik-klinik pembedahan plastik juga berkongsi gambar terbabit sebagai amaran kepada wanita yang ingin buat pembedahan plastik di hidung. – MYNEWSHUB.CC