KUALA LUMPUR – Bank-bank perdagangan di Malaysia terus menyokong sektor automotif seperti yang dibuktikan menerusi kadar keseluruhan kelulusan yang tinggi sebanyak 70 peratus bagi pembelian kereta dari tempoh Januari hingga November 2017, kata Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM).
Menurut persatuan itu, bank-bank akan terus menyediakan pembiayaan termasuk pinjaman sewa beli kepada pengguna yang layak berdasarkan kepada penilaian kesesuaian dan kemampuan mereka.
“Ini penting bagi memastikan pengguna tidak dibebani hutang yang berlebihan,” kata ABM dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai mengulas satu laporan oleh sebuah akhbar harian kewangan tempatan bertajuk “Perodua, Proton to be hit most by lending guidelines” (Perodua, Proton dijangka paling terjejas dengan garis panduan berian pinjaman).
ABM berkata alasan biasa jika pinjaman kereta ditolak adalah termasuk, tetapi tidak terhad kepada, sejarah kegagalan kredit, bukti pendapatan yang tidak mencukupi, keupayaan pembayaran yang tidak pasti dan pendapatan boleh guna bersih yang rendah.
“Perlu diingatkan bahawa paras kewangan yang kukuh akan menjadi kelebihan apabila memohon pinjaman,” kata persatuan itu.
Menurut ABM, permohonan pinjaman kereta yang diterima oleh bank-bank ahlinya dinilai mengikut garis panduan sedia ada dan prosedur dalaman mereka masing-masing.
“Ini termasuk penilaian kredit dengan mengambil kira pendapatan pemohon serta pinjaman sedia ada, bagi menentukan keupayaan pemohon untuk membayar balik pinjaman,” kata persatuan itu, sambil menambah peminjam perlu mempunyai penampan kewangan yang mencukupi sekiranya mereka berdepan masalah buruk yang tidak dijangka.
Justeru itu, ABM berkata pengguna dinasihatkan untuk menyediakan dokumentasi yang lengkap kepada bank apabila memohon pembiayaan.
Orang ramai juga boleh menyemak status kredit mereka secara percuma menerusi eCCRIS, platform dalam talian selamat bagi mereka untuk mengakses laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) mereka sendiri pada bila-bila masa sahaja selepas mendaftar untuk yang sama.
“Laporan itu akan menunjukkan sejarah pembiayaan dan pembayaran semula seseorang peminjam dengan institusi kewangan yang menyertainya dalam tempoh 12 bulan lepas,” kata persatuan itu.
Pautan ke eCCRIS adalah https://eccris.bnm.gov.my. – BERNAMA