KUCHING – Banyak yang boleh ditawarkan Sarawak dalam ekonomi digital seperti pembabitan bakat mudanya dalam pembangunan kandungan, pendigitalan pasaran menerusi internet dan hab pengedaran serta sebagai hos server pelbagai laman web susulan terdapat pelbagai sumber tenaga.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri sedar bahawa ia tidak harus melabur secara langsung dalam ekonomi digital, terutamanya kerana persekitarannya yang cepat berubah dan kadar kerugian adalah tinggi.
Beliau berkata persekitaran seumpama itu sebaiknya dikendalikan sektor swasta yang mengutamakan daya saing dan inovasi dan pada masa sama kerajaan Sarawak terus berperanan mempermudahkan pembangunan ekonomi digital oleh sektor swasta.
Susulan peningkatan kebimbangan terhadap impak bahan bakar fosil terhadap alam sekitar, katanya semestinya Sarawak memberi perhatian terhadap tenaga hijau dengan menumpukan pada sel bahan bakar hidrogen dan ekonomi hidrogen berikutan ia kaya dengan sumber air daripada kuasa hidro.
“Tenaga hidrogen kini dilihat paling berpotensi untuk pengangkutan. Terdapat skop luas bagi pembangunan tenaga hijau di Sarawak kerana populasi kita masih kecil untuk liputan menyeluruh,” katanya dalam ucapan pada persidangan antarabangsa Minggu Tenaga (IEW) 2018 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini. – BERNAMA