IPOH – Barisan Nasional (BN) Perak bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang mungkin diadakan pada bila-bila masa, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata segala persiapan termasuk senarai calon telah dikenal pasti namun ia mungkin berubah bergantung kepada penilaian akhir pucuk pimpinan.
“Sesiapa sahaja boleh meneka bahawa PRU14 akan diadakan tahun ini dan tidak akan (diadakan) sehingga hujung tahun. Kami (BN Perak) sudah bersiap sedia pada bila-bila masa dan nama-nama calon telah dikenal pasti namun proses penilai calon akan berterusan.
“Berkenaan kerusi pula seperti amalan sebelum ini kami telah dan sedang mengadakan perbincangan dengan semua komponen,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara Pecah Tanah Tapak Projek Dewan Konvensyen ‘Ipoh Shoes City’ di sini, hari ini.
Ditanya mengenai calon baharu bagi negeri Perak pada PRU14, Zambry yang juga Pengerusi BN negeri berkata masih terlalu awal untuk mendedahkan peratusan calon baharu.
“Kami tidak boleh menyatakan dari segi peratusan di peringkat ini namun seperti yang disebutkan persoalannya bukanlah muka baharu atau lama tetapi adalah calon ‘winnable’ dan ‘likeable’,” katanya.
Mandat kerajaan persekutuan diterajui BN akan berakhir pada 24 Jun 2018. – BERNAMA