KECOH dunia hiburan tanah air apabila sebuah portal tempatan melaporkan pelawak Shamsul Ghau Ghau sudah bergelar penceramah bertauliah untuk tajuk berita disiarkannya pada Jumaat.
Bagaimanapun jika diteliti isi kandungan berita tersebut langsung tidak dinyatakan perkara berkenaan sebaliknya hanya menyatakan beliau baru lulus temuduga dengan panel Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Rabu lalu.
Menjelaskan perkara sebenar, Shamsul atau nama sebenarnya S. Hamsul Azahar Aliddin berkata, beliau perlu lagi melepasi beberapa proses ujian sebelum layak menerima tauliah secara rasmi dan mengajar di seluruh Selangor.
“Belum dapat tauliah lagi, baru sahaja masuk temuduga, Insya Allah, pada Februari depan jika tiada masalah baru tahu sama ada lulus atau tidak. Itupun saya pun hanya mohon tauliah untuk mengajar al-Quran sahaja,” jelasnya.
Shamsul, 50, yang mesra disapa sebagai Pak Su mendedahkan perkara tersebut ketika ditemubual sebagai tetamu menerusi slot mingguan Hijrah disiarkan stesen radio Nasional FM di Angkasapuri, Kuala Lumpur pada Jumaat.
“Mungkin juga saya menyampaikan ceramah agama atau memberi motivasi secara tidak langsung tetapi Pak Su lebih kepada mengajar al-Quran termasuk membaca dengan tajwid dan sebutan yang betul,” kata beliau lagi.
Mengakui masih berasa malu apabila ada yang mula memanggilnya sebagai ustaz, Shamsul berkata beliau tidak pernah terlintas di fikirannya sebelum ini untuk menjadi seorang guru agama ketika aktif sebagai pelakon.
“Sejujurnya saya tak pernah mimpi atau terfikir pun hendak menjadi seorang guru dan agak malu apabila ada yang memanggil saya dengan gelaran ustaz. Saya segan sebab belum capai lagi tahap tersebut,” katanya kepada portal itu.
Shamsul turut bergiat aktif sebagai penceramah motivasi di masjid dan sekolah namun mengakui sebenarnya bukan mudah untuk mendapatkan sijil keayakan sebagai pendakwah kerana banyak proses dan ujian yang perlu dilalui.
“Alhamdullilah, semuanya berjalan lancar dan selepas ini saya boleh berkongsi lebih banyak ilmu agama dengan masyarakat,” kata beliau yang pernah menjadi penyampai stesen radio KLFM dan pengacara di TV AlHijrah.
Bagaimanapun, katanya, terdapat pihak produksi yang menyangka bahawa beliau sudah bersara dan enggan berlakon. Shamsul turut bergelar mutawwif bagi membawa rombongan jemaah ibadah umrah ke Tanah Suci.
“Industri seni merupakan sumber pendapatan saya dan saya tak boleh berhenti menjadi seorang artis. Insya-Allah kalau ada tawaran bersesuaian, saya tidak menolak,” katanya dipetik portal itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA