PENAHANAN pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil masih lagi mengejutkan para peminat dan mereka yang rapat dengannya.
Saban hari, ada saja berita terbaharu yang ‘mengupas lapisan’ punca sebenar yang membawa kepada situasi yang dihadapi pelakon Tombiruo: Penunggu Rimba itu.
Terbaru, rakan Farid yang juga merupakan pendatang baru, Ben Ali tampil memberi penjelasan mengenai apa yang berlaku pada malam sebelum Farid ditahan.
Baca: Didakwa Tampar Anggota Polis, Farid Kamil Ditahan
Juga: Peminat, Adik Akui Terkejut Farid Kamil Dicekup Polis
Ben menceritakan rentetan ‘kisah’ itu menerusi sebuah entri yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya beberapa jam lepas (Sabtu).
Katanya memetik entri berkenaan:
Kisah DFK (Datuk Farid Kamil)
Susulan penahanan Datuk Farid Kamil dua hari lepas. Ramai yang mengecam beliau dan melemparkan kata-kata berbaur cacian, makian dan sebagainya.
Saya berpeluang untuk mengenal beliau secara dekat sejak baru baru ini sahaja. Sebelum ini cuma kenal di kaca TV.
1. Pada hari kejadian, DFK ada menghantar pesanan suara kepada saya melalui aplikasi WhatsApp dengan meminta tolong. Beliau berkata bahawa beliau sudah 2 hari tidak berjumpa anak beliau dan beliau berada di kawasan gelap dan amat menakutkan.
2. Kemudiannya beliau menghantar satu lokasi di mana beliau berada, tempat tersebut adalah Balai Polis.
3. Pada mulanya saya agak pelik dan hairan. Tidak juga saya tahu bagaimana untuk saya memberikan reaksi balas terhadap pesanan beliau itu. Jadi saya mengambil pendekatan untuk tidak membalas apa-apa sejurus selepas menerima WhatsApp tersebut.
4. Namun sejurus selepas berita berkenaan DFK ini tular di media sosial, saya terus bergegas ke Balai Polis Mutiara Damansara untuk cuba membantu apa yang terdaya.
5. Tidak dinafikan, apa yang dikatakan oleh adik beliau saudara Fadzil Zahari adalah benar. Berkemungkinan DFK menghadapi tekanan perasaan sejak dua menjak ini .
6. Kisah ini bermula semasa beliau menjalani penggambaran mega drama Lafazkan Kalimah Cinta yang digandingkan bersama pelakon, Nelydia Senrose.
7. Melalui seorang teman rapat saya yang juga terlibat sama dalam proses pembikinan drama terbabit. DFK pada awalnya begitu komited dan profesional dalam melakukan tugasnya sebagai pelakon drama terbabit.
8. Namun menjelang ke pengakhiran penggambaran tersebut, beliau mula kelihatan runsing. Bermula dengan isu dimana beliau meninggalkan set drama tersebut kerana khabarnya pihak produksi tidak menjaga hal ehwal pelakon terutamanya diri beliau sendiri. Sehinggakan beliau dikejarkan ke Hospital akibat masalah gatal di badan beliau.
9. Dan sejurus selepas kes tersebut, beliau tampak sedikit berubah dari segi cara percakapan dan pertuturan dengan orang ramai. Jika dilihat di Instagram baru baru ini anda boleh lihat bagaimana beliau bertindak balas di ruangan comment beliau ataupun dia ruangan comment orang lain.
10. Bagi yang mengenal beliau secara dekat, pasti seakan tidak percaya akan tindakan yang beliau lakukan ini. Kerana beliau bukanlah seorang yang ganas atau baran sehinggakan sanggup menampar orang awam apatah lagi pegawai polis.
11. Saya percaya pasti ada punca kepada permasalahan yang berlaku ini. Diharap netizen tidak terus mencemuh beliau sebaliknya menunjukkan sokongan moral kepada beliau.
12. Saya ingin menggesa Seniman selaku badan yang mewakili penggiat seni untuk menjalankan siasatan lanjut berkaitan isu ini sekiranya ianya mula timbul di set penggambaran drama terbabit.
13. Perkara ini amatlah serius, jika benar ianya berpunca daripada tekanan yang dihadapi di set penggambaran tersebut. Satu kajian yang mendalam dan menyeluruh perlu dilakukan secepat mungkin bagi mengelakkan ianya berlaku pada orang lain pula.
14. Tidak boleh dinafikan, cara pelaksanaan industri seni di negara ini perlu diperbaiki dan dikaji semula. Tempoh jam bekerja di sesuatu set penggambaran juga perlu diteliti kerana ada sesetengah set menjalankan penggambaran sehingga jam 6 pagi.
15. Bagi pihak produksi dan juga penggiat seni khususnya yang berada di dalam dunia lakonan, perkara ini mungkin kedengaran agak biasa.
16. Namun, sebagai hak seorang manusia, kita tidak sepatutnya di kerah bekerja sehingga 20jam. Kadang kala ada yang mencecah 24 jam masih di set penggambaran.
17. Sesuatu perlu dilakukan segera agar masalah-masalah seperti tekanan perasaan yang mungkin bermula di set penggambaran dapat diselesaikan.
18. Tidak dilupakan juga kenyataan yang dikeluarkan Presiden Seniman, Saudara Zed Zaidi tentang lebih kurang 300 artis menghadapi tekanan akibat berhutang dengan ‘Ahlong’.
Diharap pihak yang berwajib khususnya pihak kementerian dapat mengambil tindakan sewajarnya tentang masalah-masalah yang dihadapi para penggiat seni sejak kebelakangan ini.
Sekadar Menulis,
Ben Ali,
13 Januari 2018.
Pendedahan secara terbuka Ben telah menarik perhatian ramai selain turut menerima pelbagai reaksi daripada netizen tidak kira sama ada yang berbentuk positif mahupun negatif.
Khamis lalu, Farid dilaporkan datang ke Balai Polis Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor untuk membuat laporan mengenai satu kes kemalangan jalan raya.
Namun ketika sedang berurusan, aktor itu secara tiba-tiba didakwa bertindak menampar muka petugas yang menerima aduan. Kejadian itu disaksikan oleh beberapa anggota lain dan orang awam.
Susulan itu, Farid telah direman selama 4 hari yang berkuatkuasa pada Jumaat bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan. – MYNEWSHUB.CC/AM
Sumber: Ben Ali