SEPERTI yang semua sudah sedia maklum, pelakon kontroversi Iqram Dinzly memang sering memuat naik video siaran langsungnya di Instagram Story menari dengan irama lagu Pencuri Hati berkumandang di belakang.
Baru-baru ini, penyanyi asal lagu itu iaitu Nabila Razali telah membuat persembahan di sebuah karnival dan kebetulan pula pelakon Dunia Baru itu turut berada di lokasi tersebut.
Dan apabila lagu kegemarannya itu bermain, Iqram tidak sia-siakan peluang keemasan yang ada dan terus ‘serbu’ pentas sambil menari dengan lincah!
Nabila yang kelihatan agak terkejut itu hanya melayan sahaja telatah Iqram dan bergoyang-goyang sekali ‘menyambut’ persembahan impromptu Iqram.
Malah, Nabila pula dilihat terlupa lirik lagu hitnya sendiri!
Menurut pengurus Nabila, penyanyi itu sama sekali tidak menyangka Iqram akan muncul di atas pentas untuk menari bersama-samanya.
Dalam pada itu, para peminat turut kedengaran menjerit dan bersorak dengan kemunculan istimewa Iqram yang kelihatan seronok dan asyik menari di atas pentas. Hai, rindu nak beraksi di hadapan peminat ke Iqram?
Mungkin terlalu stres agaknya, dan menari begitu merupakan terapi untuk buat Iqram lebih tenang. Siapa tahu, kan? – MYNEWSHUB.CC