SEPANG – Brahim’s SATS Food Services Sdn. Bhd. (BSFS), anak syarikat Brahim’s Holdings Bhd. akan menandatangani perjanjian dengan Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) bulan ini untuk menyediakan penyelesaian makanan lengkap kepada perkhidmatan tersebut.
Pengerusi Eksekutif Brahim’s, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi berkata, dengan perjanjian itu, penyedia makanan ringan dalam pesawat itu akan dapat menggunakan sepenuhnya dapur utamanya yang dapat memenuhi 60,000 hidangan sehari.
“Pada masa ini, kami menghasilkan kira-kira 50,000 hidangan sehari di dapur utama kami dan berharap dapat menggunakan baki 10,000 hidangan untuk perniagaan bukan penerbangan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan media ke BSFS di sini, hari ini.
Lawatan itu diadakan sempena ulang tahun ke-30 Brahim’s dan lima belas tahun ia terlibat dalam perniagaan katering syarikat penerbangan.
Ibrahim berkata, perjanjian dengan ETS itu dijangka mempunyai kontrak lima tahun serta lanjutan lima tahun di mana ia juga merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan kereta sorong seperti di Eropah.
Menurutnya, BSFS tidak terjejas oleh turun naik dalam kadar pertukaran mata wang untuk bahan makanan mentah yang diimport kerana ia telah menetapkan harga selama satu tahun melalui tender.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BSFS, Ainul Hasnizam Abu Hassan, berkata pihaknya rancang untuk kembang perniagaan bukan penerbangan daripada empat peratus sekarang kepada 10 peratus menjelang akhir tahun.
Ia didorong oleh permintaan daripada pelbagai industri yang mencari penyelesaian makanan dan kebersihan halal sepenuhnya, termasuk daripada pengendali bangunan ‘hijau’ yang tidak membenarkan makanan dimasak di premis mereka.
“Walaupun kami adalah pembekal perkhidmatan penerbangan utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, kami perlu melihat peluang lain kerana kebanyakan syarikat penerbangan sedang mengurangkan kos,” katanya.
Menurutnya, syarikat itu juga sedang berusaha untuk menghasilkan makanan masak beku bagi segmen syarikat penerbangan dan bukan penerbangan, terutama katering perindustrian berikutan permintaan yang semakin meningkat.
Dapur BSFS kini memberi perkhidmatan kepada 32 syarikat penerbangan, termasuk empat syarikat penerbangan bertaraf dunia, iaitu Qatar Airways, ANA All Nippon Airways, Emirates dan Cathay Pacific Airways. – BERNAMA