BARU-BARU ini negara kita dikejutkan dengan kejadian tidak diduga apabila seorang pelajar telah maut dihempap kerusi pejabat dari tingkat atas sebuah PPR di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Baca: Pelajar Maut Ditimpa Kerusi Dari Tingkat Atas PPR
Juga: Ibu Mangsa Lempar Kerusi Cerita Detik Akhir Anak
Bagaimanapun, kejadian tidak bermoral sebegitu bukanlah pertama kali yang berlaku di flat awam berkenaan. Malah, pada 2 Januari ada kejadian yang seakan-akan sama tetapi di tempat lain.
Ia melibatkan seorang pekerja warganegara Indonesia dengan tanpa segan silu telah melemparkan besi-besi dari tingkat atas di sebuah apartmen di Shah Alam, Selangor.
Kegiatan tidak bertanggungjawab itu telah terkantoi apabila seorang penduduk di apartmen berkenaan dikenali sebagai Edie, 32, telah berjaya merakamkan video bagi menangkap wanita berkenaan.
“Dia merayu kepada saya supaya tidak lapor perbuatannya dan beri alasan tak berdaya untuk bawa turun barang menyebabkan dia campak dari tingkat atas,” katanya dipetik daripada Harian Metro.
Tambahnya lagi, ketika kejadian, dia sedang berada di rumahnya dekat tingkat satu bangunan tersebut.
Secara tiba-tiba dia terdengar bunyi dentuman kuat daripada luar rumah dan segera mencari punca dari mana datangnya bunyi tersebut.
“Pada petang hari kejadian, dua anak saya minta kebenaran mahu ke taman permainan di bawah tetapi saya minta mereka keluar selepas Asar.
“Sementara menunggu Asar, saya yang ketika itu sedang berehat terkejut mendengar bunyi dentuman kuat sebelum anak beritahu ada orang baling barang menyebabkan saya keluar melihat apa yang terjadi,” katanya.
Menurutnya yang bekerja sebagai pemandu, dia berasa sangat terkejut apabila mendapati ada kepingan besi di tingkat bawah dan bertambah terkejut ternampak barang jatuh dari tingkat empat.
“Saya terus ke tingkat atas sebelum saya lihat ‘cleaner’ (tukang cuci) nak baling dapur gas. Saya jerit menyebabkan dia tak jadi baling.
“Saya ada beritahu nak membuat laporan polis, dia merayu dan pegang kaki saya,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, tukang cuci tersebut memberi seribu satu alasan yang mana dia tidak mampu untuk membawa turun barangan yang diberi oleh penduduk di situ.
Lagi pula, keadaan di taman itu kosong dan tiada orang. Disebabkan itu dia mengambil keputusan untuk terus mencampakkan kesemua barang-barang itu ke bawah.
Kejadian itu telah dimaklumkan kepada pihak pengurusan apartmen berkenaan dan mereka cuma menasihati wanita itu sahaja supaya tidak mengulangi lagi perkara itu.
“Tindakan baling barang ini, kita susah nak tahu pelakunya. Kali ini, saya nampak depan mata saya.
“Saya muat naik bukan nak aibkan sesiapa. Ia untuk kesedaran.
“Nak bising sebelum jadi atau nak bising bila dah jadi (perkara tak diingini).Takkan dah ada yang mati baru nak bising,” tambahnya lagi.
Semakin hari, perkara seperti itu harus dipandang secara serius oleh peihak berwajib kerana jika tidak, kejadian sebegitu akan berlarutan sehingga tiada penamatnya.
Satu nyawa telah melayang dalam kejadian di pangsapuri Blok 102 PPR Seri Pantai, Pantai Dalam sebelum ini, jangan sampai makin banyak nyawa melayang baru ia akan dipandang secara serius! – MYNEWSHUB.CC/AH