KUCHING – Pengguna jalan raya yang berdepan masalah keselamatan serta kualiti jalan raya sedia ada rosak akibat pembinaan projek lebuh raya disaran terus buat aduan di laman Facebook Pan Borneo Highway Sarawak.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata aduan terus ke laman itu lebih berkesan seterusnya memudahkan rakan projek pelaksana dan kontraktor Lebuh Raya Pan Borneo untuk membuat penambaikan berbanding membuat aduan ke laman-laman Facebook lain.
“Pengguna jalan raya boleh membuat aduan di laman Facebook Pan Borneo Highway Sarawak, laman ini yang akan turut melibatkan kontraktor dan pasukan komunikasi mereka supaya dapat menangani aduan orang ramai seterusnya tindakan segera dapat diambil.
“Terus buat aduan di laman ini supaya kita mudah ambil tindakan segera menyelesaikan setiap masalah. Kadangkala pengguna salah faham dengan menganggap semua jalan adalah Lebuh Raya Pan Borneo biarpun begitu jika aduan disalurkan menerusi laman Facebook itu nanti namun bukan bidang kuasa kita, pasukan petugas akan bantu dengan menyalurkan kepada pihak yang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Dialog Penelitian Kerja-kerja Pembaikan Kerosakan dan Penambahbaikan Pelan Pengurusan Trafik Pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak di sebuah hotel di sini hari ini.
Dialog lebih sejam melibatkan semua agensi terlibat dalam pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo bertujuan mencari jalan penyelesaian segera masalah keselamatan serta kualiti jalan raya sedia ada yang rosak akibat pembinaan
Fadillah berkata berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kementerian, setiap aduan akan diambil tindakan dalam tempoh dua jam.
“Namun begitu tindakan bergantung kepada jenis aduan. Kalau ringkas seperti jalan berlubang tindakan mesti diambil dalam tempoh dua jam untuk selesaikan tetapi kalau libatkan kerosakan struktur ianya akan ambil masa kadang kala melibatkan peruntukan tambahan,” katanya.
Sementara itu Fadillah berkata rakan projek pelaksana (PDP) dan kontraktor Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak diberi amaran supaya menambah baik Program Pengurusan Trafik (TMP) masing-masing atau kontrak mereka akan diberi kepada pihak ketiga.
Menurutnya TMP perlu ditingkatkan supaya dapat memberi amaran dan panduan kepada pengguna jalan raya di laluan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan.
“Saya telah mengarahkan PDP dan kontraktor untuk tambah baik TMP mereka seperti memastikan tanda arah jelas; pemantul mesti ada, lampu tanda bahaya dipertingkatkan. Saya telah maklumkan kepada mereka bahawa kementerian dan saya sendiri akan buat pemeriksaan mengejut dengan turun ke tapak pembinaan tanpa beritahu mereka termasuk pihak media.
“Ini amaran terakhir daripada kementerian, kalau tidak patuh kita akan ambil tindakan dengan melantik pihak ketiga untuk memastikan TMP dipatuhi. Jika ini berlaku (melantik pihak ketiga) kita akan potong nilai kontrak yang telah ditawarkan kepada Rakan Projek Pelaksana (PDP) dan kontraktor,” katanya. – BERNAMA