TAWAU – Seorang budak lelaki berusia sembilan tahun yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Jalan Apas di sini dua hari lepas, ditemukan mati dalam sungai di belakang rumahnya pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata mayat Muhammad Azizan Rosli ditemui kira-kira 11.31 pagi oleh sepasukan anggota mencari dan menyelamat.
“Mayat mangsa dijumpai tersangkut di antara dahan-dahan kayu di dalam sungai itu dan pemeriksaan awal tidak menunjukkan sebarang kecederaan fizikal pada mayatnya,” kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tawau untuk bedah siasat.
Pada Sabtu lepas, bapa mangsa, Rosli Gani, 57, membuat laporan polis selepas isterinya menyedari anak mereka hilang.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa itu turut disertai anggota pasukan Bomba dan Penyelamat Tawau serta Angkatan Pertahanan Awam. – BERNAMA