KUANTAN – Seorang cikgu tuisyen mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini, atas tuduhan menipu berhubung permohonan lesen memandu, November lalu.
Di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah, tertuduh Mohd Nortarmizi Misrun, 31, didakwa menipu Muhammad Asyraf Nazairi, 19, sehingga mangsa menyerahkan RM170 yang kononnya untuk mendapatkan lesen memandu B2 dan D.
Tertuduh yang masih bujang dan beralamat di Taman Putra Sri Mahkota, Jalan Gambang didakwa melakukan kesalahan itu pada antara 1 hingga 30 Nov lalu di Maktab Adabi, Batu 3 di sini.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, peguam Nurul Syafiqa Syeba Atan memohon mahkamah mengurangkan jaminan RM5,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan atas alasan tertuduh hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan.
“Pendapatan itu digunakan untuk menanggung ibu bapa dan adik tertuduh berusia 21 tahun yang masih belajar di universiti,” katanya.
Nurunaim menetapkan jaminan sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, di hadapan Majistret Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama ke atas Muhammad Jafni Daniel Jailani, 21, membabitkan kerugian RM100 di lokasi dan pada tempat dan masa yang sama.
Syarifah Nursyuhada membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan dan kedua-dua kes ditetapkan untuk sebutan pada 29 Jan ini. – BERNAMA