SIAPA tidak kenal dengan pelakon, Adam Corrie yang sememangnya popular menerusi watak ‘Dragon’ dalam filem aksi KL Gangster ini.
Pelakon yang lebih mesra disapa dengan nama panggilan Corrie ini melahirkan rasa syukur apabila perkongsian di media sosial berjaya memberi inspirasi kepada banyak pihak termasuk golongan mualaf sepertinya.
Ekoran itu, beliau berharap perkongsian yang menceritakan pengalaman sendiri sebagai saudara baharu, sedikit sebanyak mampu bantu menarik minat mereka yang ingin mendalami agama Islam secara lebih dekat.
“Ada yang menghantar mesej secara peribadi meminta saya membawa pasangan mereka untuk mendalami agama dengan lebih dekat, terutama bagi menarik golongan mualaf seperti saya.
“Bukan tempat saya sebenarnya untuk menyedarkan orang mengenai agama Islam, sebaliknya perkara itu harus wujud atas kesedaran sendiri. Oleh itu, saya menjelaskan perkongsian yang dibuat sekadar berkongsi keindahan Islam.
“Saya sendiri masih perlu banyak belajar. Setiap Jumaat, saya menghadiri kelas menuntut ilmu daripada mereka yang berpengetahuan dalam agama,” katanya dipetik BH Online.
Dalam pada itu, tambah pengerusi program Usrah Fitrah ini lagi, jika ada rakan artis ingin mendalami Islam dalam skala kecil, mereka boleh berbuat demikian dengan hadiri perjumpaan program itu diadakan setiap minggu.
“Mungkin ada dalam kalangan selebriti yang ingin belajar, namun segan hadiri kelas secara terbuka. Kami menyediakan platform untuk dalami agama dalam skala kecil, khas bagi golongan yang dikenali ini,” tambahnya.
Baca: Hasil Dakwah Adam Corrie, 15 Orang Peluk Islam
Untuk rekod, pelakon berusia 49 tahun ini memeluk Islam pada Julai 2007 dan beliau juga dikatakan telah berjaya menarik kira-kira 15 orang bukan Islam untuk memeluk agama itu sejak bergelar mualaf. – MYNEWSHUB.CC/AM