NUTELLA merupakan satu makanan berasaskan coklat yang sangat digemari ramai tidak kira kanak-kanak mahupun orang dewasa sendiri.
Harganya yang mahal itu kadang-kala langsung tidak terkesan bagi sesetengah orang demi menikmati kelazatannya.
Namun, pada 25 Januari lalu sebuah pasar raya di Perancis telah menawarkan potongan harga sebanyak 70% ke atas barangan yang berasaskan koko itu.
Disebabkan itu, ramai pelanggan telah berebut bagi mendapatkan bekalan coklat itu dan jumlah yang diambil juga telah melebihi daripada yang mereka perlukan.
Beberapa cawangan pasar raya Intermarche melaporkan bahawa keadaan sedikit kecoh apabila ada pelanggan yang bergaduh semata untuk mendapatkan coklat kegemaran ramai itu.
“Ia satu bencana yang benar-benar berlaku, seramai 200 orang berada di luar dan menunggu untuk pasar raya ini dibuka.
“Semuanya berpunca daripada balang Nutella,” kata seorang pekerja di Metz yang dipetik daripada stesen antarabangsa CNN.
Dalam masa yang sama, beberapa lagi pekerja di Forbach turut memberitahu bahawa kebanyakan pelanggan sanggup merempuh serta menolah satu sama lain sehingga merosakkan beberapa barangan yang lain.
Mereka yang menyaksikan kejadian itu juga dikatakan hampir menghubungi pihak polis bagi mengawal keadaan.
Di sana, harga sebalang Nutella berharga 4.50 euro (RM21.70) dan selepas potongan, ianya telah menajdi hanya berharga 1.31 euro (RM6.80).
Kejadian kecoh itu bukanlah yang pertama kali berlaku jika terdapat potongan harga pada produk itu. Sekitar tahun 2015 yang lalu, seorang pelanggan berusia 78 tahun di California telah membuat aduan.
Ia berhubung tindakan pelanggan lain yang mengambil sampel wafel Nutella melebihi had dan malangnya dia pula telah ditumbuk pula. – MYNEWSHUB.CC/AH