ADAKAH anda seorang pembeli dalam talian? Jika pernah, pasti pernah merasakan sesetengah barangan yang dibeli khususnya pakaian adakalanya tidak sama dengan apa yang digambarkan.
Ini sememangnya bukanlah perkara baharu kerana sering terjadi barangan yang dibeli tidak sama seperti apa yang dibayangkan.
Menyedari hakikat itu, seorang peniaga dalam talian di China sanggup mempamerkan kesungguhan ‘lain macam’ bagi meyakinkan para pelanggan bahawa barangan yang dibeli adalah sama seperti yang dilihat.
Menjual pakaian-pakaian elegan, lelaki berkenaan sanggup jadi model menyarungkan pakaian itu ke tubuhnya agar dapat dilihat oleh para pelanggan.
Aksinya itu menjadi tular menerusi laman sosial Weibo apabila ramai netizen yang kagum dengan kesungguhannya menyakinkan pelanggan.
Gambar-gambarnya memakai gaun dimuat naik oleh seorang pelanggan wanita yang meminta foto-foto sebenar pakaian yang mahu dibelinya.
Namun, wanita itu tidak menyangka peniaga itu sendiri yang menjadi model.
Jika di Malaysia, ramai juga peniaga atau usahawan tempatan yang suka membuat gimik dalam perniagaan.
Malah ada yang sanggup melakukan perkara ‘tak cerdik’ kerana mahu kisahnya tular. Eh, siapa tu? – MYNEWSHUB.CC