KUANTAN – Mahkamah Sesyen di sini hari ini, memerintahkan seorang pemandu bas dipenjara sehari dan membayar denda RM10,000 selepas mengaku salah menggunakan dokumen palsu untuk menukar hak milik sebuah bas, tiga tahun lalu.
Hakim Dazuki Ali juga memerintahkan supaya tertuduh M. Indran, 32, yang beralamat di Taman Sentosa, Klang Selangor menjalani hukuman penjara selama enam bulan, jika gagal menjelaskan denda itu.
Indran didakwa menggunakan dokuman palsu ‘circular resolution’ milik Syarikat Gift Two K Holidays Sdn Bhd bertarikh 15 April 2014 yang kononnya membenarkan dia membeli bas syarikat pelancongan itu pada harga RM45,000.
Tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan kesalahan itu pada 20 Mei 2014 di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Raub yang perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Peguam Mohd Hamizi Mat Said yang mewakili tertuduh merayu supaya hukuman diringankan atas alasan pengakuan bersalah anak guamnya dibuat pada kali pertama dia dihadapkan ke mahkamah, sekali gus menjimatkan masa dan kos semua pihak.
“Pendapatan bersih tertuduh hanya sekitar RM1,200 yang digunakan untuk menanggung ibunya yang tua dan tinggal bersamanya. Ini kesalahan pertama tertuduh dan dia telah insaf serta memberi kerjasama sepenuhnya sejak ditangkap pada 16 Jan lalu,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Fadly Mohd Zamri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana perbuatannya menyebabkan pemilik bas mengalami kerugian.
Berdasarkan fakta kes, pemilik syarikat itu Che Ahmad Che Long telah membenarkan tertuduh untuk memajak bas jenis Mercedes Benz bernilai RM376,000 itu pada harga RM5,000 sebulan, bagaimanapun tertuduh tidak menjelaskan bayaran selepas setahun.
Che Ahmad kemudiannya menerima saman daripada Bahagian Perlesenan Kementerian Pelancongan Kedah mendakwa bas itu tidak mempunyai pemandu pelancong menyebabkannya curiga lalu membuat laporan polis dan semakan JPJ yang mengesahkan hak milik bas bertukar kepada tertuduh sejak 2014.
Tertuduh menjelaskan denda itu. – BERNAMA