KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu hari ini memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama AlHijrah Media Corporation untuk menjayakan penerbitan drama bersiri baharu yang mengisahkan tentang pahlawan tersohor negeri itu iaitu ‘Megat Panji Alam’.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata drama sebanyak 26 episod itu juga secara tidak langsung akan mempromosikan keindahan negeri Terengganu kerana majoriti lokasi penggambaran akan dilakukan di negeri itu.
“Sebelum ini, sudah ada banyak versi Hikayat Panji Alam diterbitkan seperti melalui Sejarah Darul Iman, pementasan bangsawan, dalam filem dan pelbagai medium lagi.
“Jadi, kerajaan negeri berasa wajar untuk kita menonjolkan ketulenan kisah Megat Panji Alam ini agar ia mampu menjadi inspirasi kepada golongan muda bahawan Terengganu ini mempunyai banyak kisah hebat dalam kalangan rakyatnya,” katanya.
Memorandum itu ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail manakala TV AlHijrah diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Dr. A Bakar Sarpon.
Ahmad Razif berkata kerajaan negeri bekerjasama dengan Muzium Negeri Terengganu, Muzium Negara dan Persatuan Sejarah sejak empat tahun lalu untuk membuat kajian terperinci mengenai Megat Panji Alam.
“Sekarang ini, skrip sudah siap, pengarahnya pula ialah Aziz M Osman manakala pemilihan pelakon akan dibuat tidak lama lagi, malah kerajaan negeri juga sudah mencadangkan tiga nama yang difikirkan sesuai untuk memegang watak tersebut.
“Apabila sudah siap nanti, drama ini akan menjadi satu lagi koleksi khazanah untuk Terengganu sebagai bukti kehebatan Megat Panji Alam sebagai pahlawan yang turut mempunyai kaitan dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka,” katanya. – BERNAMA