KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia bertambah baik disebabkan kesan positif daripada tadbir urus dan dasar kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ekonomi negara telah bertambah baik untuk beberapa ketika dan ini tidak berlaku semalaman.
Beliau membuat ulasan itu berikutan dakwaan oleh seorang blogger pembangkang yang menyatakan ekonomi Malaysia bertambah baik dan Ringgit kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat disebabkan pengumuman Pakatan Harapan mengenai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri.
Salleh membidas tanggapan itu sambil menyatakan “Sekali ini, ini adalah perbuatan yang tidak matang dan tidak bertanggungjawab oleh pembangkang semata-mata untuk mendapat pujian untuk diri sendiri.
“Tetapi kita tidak memerlukan pembohongan selanjutnya oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Kita perlu realistik dan tidak memberikan maklumat yang salah kepada rakyat,” kata beliau menerusi catatannya dalam blog beliau: https://sskeruak.blogspot.my, hari ini.
Beliau menarik perhatian bahawa ekonomi adalah isu global dan bukan hanya mengenai Malaysia.
“Di Timur Tengah pun, harga minyak petrol dinaikkan dan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dilaksanakan. Semua negara menangani isu ini dan tiada negara yang terkecuali,” kata beliau. – BERNAMA