KUALA LUMPUR – Empat sahabat masing-masing dijatuhi hukuman denda RM800 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan bermain judi jenis bola golek di tempat awam, bulan lepas.
Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman menjatuhi hukuman itu terhadap Kuang Wei Jun, 25; Choy Zi Cong, 19; Saipul Sinnal, 21 dan seorang warga Indonesia, Sino, 18, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu yang dilakukan di kawasan Transit Aliran Ringan( LRT) Putra laluan Datuk Keramat, Lorong Keramat 13, Wangsa Maju, di sini pada 9.50 malam, 22 Dis tahun lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap keempat-empat tertuduh.
Bagaimanapun, kesemua mereka yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan tidak mampu membayar denda tinggi kerana tidak bekerja. – BERNAMA