PELANTUN lagu Tergantung Sepi, Haqiem Rusli mengakui mengakui dirinya masih solo dan belum ada kekasih hati selepas hampir dua tahun putus cinta.
Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan berkata, dia ingin menumpukan sepenuh perhatian pada kariernya yang sedang meningkat naik.
“Kegagalan bercinta sebelum ini masih berbekas dalam diri jadi saya mengambil keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya dan keluarga.
“Perjalanan kerjaya saya masih jauh dan banyak lagi harus saya capai sebelum mengambil keputusan untuk bercinta,” katanya seperti dipetik Astro Gempak, hari ini.
Tambahnya Haqiem lagi, dia juga mengelak untuk bercinta kerana tidak mahu perkara itu menjadi asbab dan punca kerjayanya terganggu.
“Saya tidak mahu kerjaya seni saya diganggu dengan soal cinta buat masa ini kerana banyak masa saya dihabiskan di studio merakam lagu.
“Lagipun bidang seni adalah cabang kerjaya yang saya cari selama ini dan saya tidak mahu sia-siakan peluang yang ada,” tambahnya.
Nama Haqiem mula dikenali selepas single pertama berjudul Segalanya mula menjadi sajian halwa telinga pencinta muzik.
Ternyata, bakat besar yang dimiliki oleh penyanyi remaja ini membuka mata ramai termasuk para komposer terkenal tanah air. – MYNEWSHUB.CC/AM