SHAH ALAM – Setelah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Jelajah Asia 2017, bintang golf negara, Gavin Kyle Green kini memberi tumpuan pula kepada kejohanan Piala EurAsia 2018.
Pemain berusia 23 tahun itu melakar prestasi cemerlang pada musim 2017 dengan meraih gelaran juara Jelajah Asia untuk julung kali bagi dirinya, diisytiharkan sebagai Pemain Nombor 1 Asia dan dipilih sebagai Pemain Terbaik 2017.
“Ia akan menjadi sesuatu yang menyeronokkan…dapat berada di tanah kelahiran, Malaysia. Tempat kejohanan hanya 10 minit perjalanan dari rumah saya dan ini tentunya sesuatu yang menyeronokkan. Lebih-lebih lagi apabila semua rakan dan penyokong berada di sini.
“Harapan saya agar kami (Pasukan Asia) akan mencapai kejayaan cemerlang pada tahun ini dan saya benar-benar ingin mencapai kemenangan itu…bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi juga untuk Team Asia,” kata Gavin kepada pemberita di venue kejohanan, Glenmarie Golf and Country Club (GGCC), di sini hari ini.
Setelah melalui tahun penuh kejayaan, Gavin akan menjadi sebahagian daripada Pasukan Asia yang diketuai Arjun Atwal dari India untuk beradu kehebatan dengan Pasukan Eropah diketuai Thomas Bjorn pada kejohanan dari 12 hingga 14 Jan ini.
Gavin, antara enam muka baharu dalam Pasukan Asia terdiri daripada 12 pemain itu, berkata beliau percaya pasukannya berkemampuan untuk membuat kejutan terhadap Pasukan Eropah , yang menjuarai edisi Piala EurAsia 2016.
Pada 2014, ketika kejohanan itu diadakan untuk julung kalinya, Pasukan Asia dan Eropah mencapai kedudukan seri 10-10.
“Berat juga nanti kerana saya tidak pernah beraksi dalam kejohanan seperti ini setelah menjadi pemain profesional. Saya tak dapat bayangkan apa yang akan berlaku, Pasukan Eropah sangat kuat. Bagaimanapun, saya telah bermain dengan baik di padang ini (GGCC)…Saya menang tiga kali sebagai pemain amatur dan sekali setelah menjadi pemain profesional serta beberapa kali menduduki tempat lima teratas.
“Sudah lama saya tidak bermain dalam kejohanan seperti ini…sebenarnya sejak menuntut di kolej dulu. Sudah tentu ia akan merupakan permulaan menarik bagi tahun ini. Saya belum tahu bagaimana gabungannya nanti , walaupun ada idea mengenainya, tapi saya tidak tahu dengan pasti. Apabila Arjun datang Ahad ini dan kami bermesyuarat pada Isnin, kami akan menentukannya,” kata Gavin.
Selain Gavin, Pasukan Asia dibarisi rakan senegaranya, Nicholas Fung, Yuta Ikeda dan Hideto Tanihara (Jepun), Li Haotong (China), Anirban Lahiri dan S.S.P. Chawrasia (India) Poom Saksansin, Kiradech Aphibarnrat dan Phachara Khongwatmai (Thailand) serta An Byeong-hun An dan Kang Sung-hoon (Korea Selatan).
Pasukan Eropah pula akan menampilkan Rafa Cabrera-Bello, Paul Casey, Paul Dunne, Ross Fisher, Matthew Fitzpatrick, Tommy Fleetwood, Tyrrell Hatton, Alex Levy, Alex Noren, Thomas Pieters, Henrik Stenson danBernd Wiesberger.
Kejohanan Piala EurAsia mengandungi 24 perlawanan, dengan hari pertama menyaksikan enam perlawanan fourball, diikuti enam perlawanan foursome dan 12 perlawanan perseorangan pada hari ketiga. – BERNAMA