PETALING JAYA – Skuad futsal kebangsaan mahu menjadikan pencapaian bersejarah skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara pada Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018 di China baru-baru ini, sebagai inspirasi untuk melakar kejayaan pada Kejuaraan Futsal AFC 2018 di Taiwan, Februari ini.
Pengurus pasukan, Datuk Rosmadi Ismail berkata skuad kendalian Chiew Chun Yong itu memiliki potensi mencipta keajaiban pada pertandingan dwitahunan itu meskipun sasaran utama adalah mara ke peringkat suku akhir.
Katanya, walaupun skuad negara mengalami dua kekalahan besar pada aksi persahabatan di Lubnan baru-baru ini, sasaran untuk berada dalam kelompok lapan terbaik itu dianggap realisitik selepas mengambil kira persiapan rapi yang dilakukan sejak awal tahun ini.
“Segala persiapan telah dilakukan dengan rapi dan kita mengambil pertandingan ini sebagai sesuatu yang amat serius sehingga kita menghantar pasukan ke Lubnan untuk memperolehi aksi kompetitif supaya kita dapat bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Undian Kelayakan Pertandingan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2018 di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini, hari ini.
Pada Kejohanan AFC B-23 di China, Malaysia kalah 2-1 kepada Korea Selatan pada aksi suku akhir.
Mengulas lanjut mengenai dua kekalahan besar 1-5 dan 1-6 yang dialami skuad negara ketika berdepan Iraq dan Lubnan itu, Rosmadi berkata masih terdapat ruang buat para pemain dan barisan kejurulatihan untuk memperbaiki segala kelemahan sebelum memulakan kempen Kejuaraan Futsal AFC 2018.
“Dua kekalahan ini boleh dianggap sebagai satu hikmah dan ‘wake up call’ kepada pemain serta barisan kejurulatihan untuk terus berkerja keras memperbaiki prestasi dan meningkatkan mutu permainan supaya kita tidak mengulangi keputusan yang sama pada kejohanan sebenar,” jelas beliau.
Pada Kejuaraan Futsal AFC 2018 itu nanti, skuad negara, yang diundi dalam Kumpulan A, akan memulakan saingan bertemu Vietnam pada 1 Feb diikuti aksi kedua menentang Taiwan (3 Feb) sebelum melengkapkan saingan kumpulan dengan berdepan Bahrain pada 5 Feb. – BERNAMA