KANGAR – Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin meminta para guru takmir mengingatkan orang ramai berhubung kepentingan menjaga kebersihan.
Katanya kebersihan yang dituntut Islam bukan sahaja terhadap amalan diri sendiri tetapi meliputi seluruh alam termasuk sungai dan laut.
“Allah SWT menyuruh manusia keluar ke seluruh pelusuk dunia untuk melihat keindahan alam dan mencari rezeki tetapi jika alam dicemari manusia sendiri, segala keindahannya akan hilang,” kata Mohd Asri ketika menyampaikan kuliah mingguannya di Masjid Alwi di sinimalam tadi.
Beliau memberi contoh keadaan sungai dan pesisiran pantai di negeri ini yang penuh dengan sampah sarap hingga merosakkan pemandangan dan menyebabkan pencemaran.
“Saya sedang memikirkan kemungkinan memasukkan silibus mengajar guru-guru kelas takmir di Perlis dengan menyelitkan ceramah kesedaran betapa pentingnya orang ramai menjaga kebersihan,” katanya.
Mohd Asri menasihatkan segelintir guru agama yang gemar menyelitkan ceramah mereka dengan memaki hamun orang tetapi sebaliknya memberi kesedaran berhubung kepentingan memulihara kebersihan alam sekitar.
Katanya alam sekitar akan lebih indah tanpa pencemaran jika tiada manusia membuang sampah dan bahan buangan sesuka hati. – BERNAMA