IBARAT sudah tiada modal, Tun Dr. Mahathir Mohamad menuduh Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pengkhianat kerana parti itu bertanding sendirian dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 kelak.
Pengerusi Pakatan Harapan yang kini berusia hampir seabad itu mendakwa konon tindakan PAS untuk tidak bersama-sama dengan Pakatan Harapan itu dibuat semata-mata bagi memecahkan undi calon pembangkang.
Ia secara tidak langsung akan memenangkan atau membantu Barisan Nasional memenangi PRU ke-14, katanya bercakap pada sidang media bersempena pelancaran ‘Harapan Baru: Policy Talks‘ di Putrajaya, hari ini.
Mahathir, 92, mendakwa Presiden PAS itu tiada kekuatan untuk memenangi banyak kerusi jika bertanding sendirian dan Abdul Hadi maklum mengenainya tetapi sengaja berbuat demikian konon untuk ‘menolong’ BN.
Beliau merujuk kenyataan Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan berkata bahawa PAS mahu meletakkan calonnya bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen pada PRU ke-14 yang akan datang.
Mahathir juga menyifatkan Abdul Hadi sengaja kafir diri sendiri kerana bekerjasama dengan UMNO, satu amalan didakwanya bertentangan ‘Amanat Haji Hadi’ dan menjadi ikutan pengikut PAS sejak dilafazkannya pada 1981.
Dalam pada itu, Mahathir yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata status sama ada mesyuarat agung tahunan (AGM) PPBM pada Sabtu lepas mengikut perlembagaan parti atau sebaliknya hanya boleh ditentukan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Setakat ini RoS tidak kata apa-apa,” katanya mengulas tindakan Ketua Bahagian PBBM Temerloh Amerus Che Onn yang semalam membuat aduan kepada RoS untuk menyiasat kesahihan AGM tersebut. – BERNAMA