KEPALA BATAS – Hampir 5,000 orang mengunjungi program jualan murah membantu rakyat di sini hari bagi mendapatkan bekalan barangan keperluan harian yang dijual di bawah harga pasaran dan ada yang berharap agar program ini diteruskan dan diperluaskan lagi di tempat lain.
Seorang pesara Abdullah Said, 60, berkata beliau amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana sering membantu rakyat khususnya meringankan kos sara hidup golongan yang berpendapat rendah menerusi program seperti hari ini.
Menurutnya, program sebegini harus diperkembangkan kepada lebih banyak kawasan supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati tawaran produk-produk jualan murah ini.
“Banyak barangan dapur dengan harga yang jauh lebih murah daripada pasar raya dan pasar ditawar di sini dan saya berasa bersyukur kerana buat pertama kalinya program sebegini dianjur di kawasan Penaga ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.
Program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama Anggota Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah menawarkan pelbagai barangan dapur dengan harga murah untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.
Pesara tentera Ramly Ahmad, 58, pula berkata selain diperluaskan kepada semua kawasan, kekerapan program ini juga harus dipertingkat kerana jumlah stok-stok jualan murah ini agak terhad.
“Mungkin program ini dapat dianjur sebulan atau dua bulan sekali supaya rakyat khusunya golongan berpendapatan rendah dapat membeli semua barangan keperluan asas dengan harga yang lebih berpatutan,” katanya.
Sementara itu, seorang ibu tunggal Rafidah Harum, 68, dari Kampung Pasir Gebu, berkata pelbagai barangan dapur yang ditawarkan di sini memang murah dengan kupon yang disediakan oleh wakil rakyat.
“Kalau setiap bulan buat macam ni…saya akan datang sini sahaja untuk membeli barangan dapur dan ini akan mengurangkan kos sara hidup kami,” katanya.
Terdahulu, Reezal yang juga Timbalan Menteri Luar bersama Anggota Dewan Undangan Negeri Penaga Datuk Zain Ahmad merasmikan program itu yang diberi subsidi RM50,000 oleh KPDNKK dan Pejabat Anggota Parlimen Kepala Batas. – BERNAMA