PUTRAJAYA – Harga runcit siling bahan bakar ditetapkan secara mingguan mulai 30 Mac tahun lepas dan bagi seminggu berikutnya menyaksikan semua jenis minyak naik sedikit sahaja.
Ia memang dijangka ekoran permintaan kukuh setelah usaha Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) menurunkan pengeluaran menyaksikan bekalan minyak mentah berkurangan dan harga naik di pasaran global.
Menurut laporan Berita N5 yang disiarkan oleh stesen TV1 RTM pada jam 5 petang Rabu, harga siling terbaharu bagi produk RON 95 naik tiga sen kepada RM2.29 seliter berbanding RM2.26 seliter pada minggu sebelumnya.
Manakala had harga runcit untuk petrol premium jenis RON 97 pula dalam tempoh seminggu akan datang juga ditetapkan menokok tiga sen kepada RM2.56 seliter, daripada asalnya iaitu RM2.53 seliter pada minggu terdahulu.
Dalam pada itu pula, harga runcit baharu untuk minyak diesel sepanjang tempoh tujuh hari sama diumumkan meningkat enam sen kepada RM2.32 seliter, berbanding cuma RM2.26 seliter ketika tempoh minggu sebelumnya.
Stesen penyiaran awam kebangsaan berkenaan melaporkan bahawa kesemua harga siling baharu untuk produk petroleum tersebut bermula dari pukul 12.01 tengah malam 4 Januari sehingga 11.59 malam pada 10 Januari 2018.
Mulai 29 Mac tahun lalu, Kabinet memutuskan penetapan harga runcit bahan api secara mingguan membolehkan pengguna dapat menikmati trend kadar yang lebih stabil berbanding harga bulanan dilaksanakan sebelum ini.
Pihak kerajaan sebelum itu melaksanakan penetapan harga siling bulanan secara kaedah pengapungan terkawal dengan mengguna pakai sistem kiraan formula Mekanisme Harga Automatik yang ditetapkan sejak 1983 lagi.
Penetapan harga runcit minyak secara bulanan itu sudah lama dilaksanakan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang telah pun bermula pada awal Disember 2014 lalu.
Namun, pengumuman rasmi secara mingguan dijangka dapat mengurangkan kegelisahan pengguna kerana corak perubahan harga tidak begitu ketara berikutan tempoh pengiraan yang agak pendek. – MYNEWSHUB.CC