KENINGAU – Boniface Clemen, 29, dari Kampung Tondulu, Tambunan mempunyai sebab tersendiri untuk menzahirkan ucapan jutaan terima kasihnya kepada kerajaan, khususnya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Bebannya selepas diberhentikan kerja oleh majikannya ringan sedikit apabila dia menjadi salah seorang penerima bantuan RM600 di bawah program Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang diperkenalkan kerajaan.
Boniface yang bekerja sebagai pekerja kilang di sebuah syarikat di Kota Kinabalu selama 11 bulan sebelum diberhentikan majikannya yang sedang mengecilkan tenaga kerja, menyebabkan beliau hilang pendapatan untuk menyara keluarga.
“Terima kasih kepada kerajaan dan Perkeso. Saya sangat terhutang budi kepada kerajaan dan Perkeso,” katanya kepada Bernama.
Pengurus Perkeso Keningau Rijal Jamaluddin ketika ditemui di sini hari ini berkata mulai hari ini, Boniface akan menerima elaun sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan.
Rijal berkata, pekerja syarikat swasta di Malaysia yang berdaftar dengan agensi itu cukup bertuah kerana terus menerima bantuan daripada kerajaan walaupun kehilangan pekerajaan.
Menurutnya apa yang penting ialah majikan dan pekerja perlu berdaftar dengan Perkeso dan SIP itu bertujuan untuk memberi bantuan kewangan sementara kepada pekerja yang hilang pekerjaan serta membantu mereka mencari pekerjaan baharu.
Katanya SIP mula dikuatkuasakan pada Januari 2018 sebagai jaringan keselamatan sosial bagi membantu golongan pekerja yang hilang pekerjaan.
Rijal berkata sehingga 15 Januari tahun ini, sebanyak tiga kes pekerja hilang pekerjaan di Keningau dirujuk kepada skim SIP iaitu masing-masing satu kes telah diluluskan, dalam proses penyemakan dan ditolak kerana diberhentikan kerja pada tahun 2016 semasa SIP belum diwujudkan. – BERNAMA