KUALA LUMPUR – Penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) global, Huawei Technologies Co., Ltd (Huawei) melantik Baker Zhou sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharunya di Malaysia.
Zhou yang memiliki pengalaman selama 18 tahun dalam industri ICT akan bertanggungjawab terhadap pertumbuhan strategik, operasi dan pembangunan keseluruhan Huawei Technologies di Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, Huawei berkata, Zhou menyertai syarikat itu pada 1999 sebagai pengurus akaun.
Sebelum ini, beliau juga memegang beberapa jawatan kanan dalam Huawei termasuk Naib Presiden Huawei Indonesia, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Bangladesh, Naib Presiden Kumpulan Pemacu Perniagaan Asia Tenggara dan Pengarah Sumber Manusia Rantau Asia Tenggara.
Menjelaskan visinya untuk masa depan Huawei Malaysia, Zhou berkata beliau berharap dapatbekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan rakan kongsi tempatan dalam membangunkan Malaysia yang lebih terhubung.
“Sebagai pemboleh global bagi inovasi ICT, kami berharap dapat memacu pertumbuhan dan pembangunan kukuh dalam negara ini,” katanya. – BERNAMA