JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyuarakan hasrat untuk bertemu dengan usahawan kosmetik Nur Sajat berikutan desas-desus yang mengatakan dia merupakan perempuan transgender.
Hajat itu disuarakan menerusi ‘mesej terbuka’ oleh Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr. Izwan Yusof khusus buat Sajat.
Menurut Izwan yang merupakan pakar dalam menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di Jakim, beliau berhajat untuk berjumpa Sajat memandangkan isu yang timbul kebelakangan ini menimbulkan banyak persoalan di kalangan masyarakat.
“Kami menjemput Sajat untuk hadir ke Jakim supaya kita lebih mengenali antara satu sama lain dan juga berbincang berkenaan situasi dan keadaan Sajat.
“Atau kami sedia berjumpa dengan Sajat di mana-mana sahaja yang dirasakan selesa. Kami sedia dihubungi 24/7,” katanya menerusi satu ‘posting’ di laman sosial Facebook pada petang Isnin.
Pada masa sama, cadangan Izwan itu turut disokong oleh Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha.
Menerusi Twitternya, Othman bersetuju berhubung hasrat Jakim untuk bertemu dengan Sajat.
Assalamualaikum,
Dr Izwan Yusof, setuju dan aturkan pertemuan dgn NUR SAJAT.Kita bantu bukan menghukum. https://t.co/5FXREzVYyF
— Othman Mustapha (@TS_Othman) January 15, 2018
“Assalamualaikum, Dr. Izwan Yusof, setuju dan aturkan pertemuan dengan Nur Sajat. Kita bantu bukan menghukum,” kata Othman.
Meskipun semua telah maklum tentang hinaan dan pembulian siber yang dialami oleh Sajat di dalam media sosial, namun pihak Jakim berkata mereka mengambil pendirian berkecuali dan tidak menyokong atau menghukum mana-mana pihak.
“Dalam masa yang sama, kami mengambil maklum cemuhan dan kata-kata kasar daripada netizen terhadap Sajat.
“Saya dan rakan-rakan di Jakim sentiasa terbuka membantu dan beri khidmat nasihat berhubung isu kekeliruan identiti dan jantina menurut perspektif Islam,” katanya. –MYNEWSHUB.CC