MISTERI jantina usahawan kosmetik terkenal, Nur Sajat rupa-rupanya turut menarik minat ramai pihak termasuklah penulis-penulis blog tanah air.
Antaranya ialah admin blogger popular, Papa Gomo yang sering terkenal dengan pelbagai kisah panas serta artikel kontroversi penuh dengan provokasi khususnya isu politik.
Baru-baru ini sebelum timbul kekecohan mengenai isu pertemuan Sajat dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Papa Gomo pernah menyiarkan satu rakaman video.
Visual dipertontonkan itu menunjukkan dia menghubungi sendiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung isu jantina usahawan tersebut.
Menerusi rakaman perbualan itu, Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris mengadu kepada Jamil Khir mengenai tingkah laku Sajat yang menyerupai wanita.
Usahawan itu dianggap semakin melampau dan memberi impak negatif kepada umum kerana dibimbangi boleh mempengaruhi remaja yang tertarik menjadikan Sajat sebagai idola.
Susulan itu, Sajat pada Selasa meluahkan perasaan kecewa berhubung hal itu menerusi entri terbaharu dalam laman sosial Instagram miliknya.
Menerusi entri tersebut, Sajat mendakwa Papa Gomo kerap kali hantar direct massage kepadanya di Instagram dan meninggalkan komen di situ namun tidak pernah dilayan oleh beliau.
Tambah Sajat, Papa Gomo pernah ajak beliau menghadiri perasmian pembukaan gimnasium lelaki itu yang dijangka pada 21 Januari ini. Namun, sekali lagi komen itu tidak dihiraukan Sajat.
Bagi membuktikan Sajat tidak berbohong mengenai perkara tersebut, beliau ada memuat naik sekeping lagi gambar memaparkan tangkap layar memaparkan perbualan antara dirinya dan lelaki berkenaan.
Menurut Sajat, beliau tidak menolak besar kemungkinan ‘serangan’ yang dibuat oleh Papa Gomo itu berpunca akibat sakit hati kerana Sajat tidak pernah membalas mahupun melayan mesej lelaki berkenaan.
Katanya lagi, jika ‘serangan’ itu satu satu daripada taktik mahu laris perniagaan, Sajat beranggapan ia adalah cara kotor selain menegaskan beliau telah serah kes itu kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Tidak semena-mena, entri-entri luahan peribadi tersebut telah menarik perhatian Papa Gomo sekali lagi untuk membalas kenyataan Sajat itu menerusi satu lagi rakaman terbaharunya.
Dalam video tersebut, Papa Gomo mengakui tindakannya menghubungi Jamil Khir selain menyokong inisiatif Jakim untuk berjumpa sendiri dengan Sajat berhubung isu jantina.
Seterusnya, Papagomo dilihat menyelar kenyataan Sajat yang mendakwa ‘serangan’ itu dibuat sebagai usaha untuk mempromosikan premis gimnya yang baru buka.
Menerusi rakaman itu, Papa Gomo turut menjelaskan bahawa dia sama sekali tidak pernah berasa dengki dengan kejayaan yang diraih oleh Sajat selama ini.
Sebaliknya Papa Gomo marah terhadap sikap Sajat yang menipu orang ramai dengan menyatakan konon dirinya sebagai wanita kerana tindakan itu seolah-olah menjatuhkan martabat wanita sebenar.
Sehubungan itu, rentetan ‘jalan cerita’ ini berkemungkinan besar menjadi titik tolak dan asbab kepada pertemuan secara tertutup antara pihak Jakim dengan Nur Sajat pada petang Selasa. – MYNEWSHUB.CC/AM