SEREMBAN – Beberapa jalan di sekitar Bandar Sri Sendayan dekat sini akan ditutup pada 27 dan 28 Jan ini bagi memberi laluan kepada Kejohanan CIMB Junior Cycling Malaysia 2018 yang akan bermula dan berakhir di d’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan dekat sini.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Thiew Hock Poh berkata beberapa laluan akan ditutup mulai pukul 6 pagi hingga 3 petang pada hari pertama kejohanan itu bagi acara Criterium sejauh dua kilometer (km).
“Acara ini bermula di hadapan d’Tempat Country Club dan antara jalan yang terlibat adalah lorong kiri Jalan Persiaran Hijayu 2A, bulatan Jalan Persiaran 1 Sendayan Aman ke susur pertama bulatan Persiaran 1 Sendayan Utama serta persimpangan lampu isyarat Matrix Global School dan akan tamat di hadapan d’Tempat Country Club,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya acara pada hari kedua adalah Road Race sejauh 9.4km yang akan berlangsung mulai 7 pagi hingga 2 petang.
“Acara ini bermula di hadapan d’Tempat Country Club dan akan melalui Jalan Persiaran Hijayu 2A, susur pertama bulatan Jalan Persiaran 1 Sendayan Aman, susur kedua bulatan Jalan Persiaran 1 Sendayan Utama, bulatan Jalan Kayu Ara/Jalan Gadong Jaya dan susur lampu isyarat Jalan Kayu Ara ke Lebuhraya Seremban-Bukit Nenas (Jalan Mantau-Sri Sendayan).
“Turut terlibat ialah persimpangan lampu isyarat Sendayan Tech Valley (Kualiti Alam) menuju ke Jalan Felda Sendayan hingga ke persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran 1 Sendayan Utama, bulatan Matrix Global School ke persimpangan lampu isyarat Matrix Global School, sebelum tamat di d’Tempat Country Club,” katanya.
Katanya laluan alternatif secara kontra akan digunakan bagi mengurangkan kesesakan di sepanjang Jalan Felda Sendayan dari arah persimpangan lampu isyarat Jalan Felda Sendayan, persimpangan Jalan Jimah Lama ke persimpangan lampu isyarat Sendayan Tech Valley (Kualiti Alam–Sri Sendayan) hingga sepanjang Lebuhraya Seremban–Bukit Nenas ke persimpangan lampu isyarat Taman Mantau Indah.
Katanya orang ramai yang ingin melalui laluan-laluan tersebut untuk menuju ke destinasi sekitar dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal atau menggunakan laluan alternatif.
“Pihak polis akan meletakkan anggota bertugas pada hari kejohanan dan memberi tunjuk arah kepada pengguna jalan raya,” katanya. – BERNAMA