KOREA Selatan telah memperkenalkan dunia dengan trend-trend kecantikan yang unik dan efektif seperti bedak kompak BB cushion, masker muka kertas dan juga penjagaan kulit 11-langkah.
Kini, republik yang dikenali sebagai peneraju industri kecantikan Asia itu telah mencetuskan sensasi di Internet dengan trend terbaru dalam beauty arsenal mereka: jamsu.
Jamsu bermaksud ‘selam’ atau ‘tenggelam’ dalam terjemahan mudahnya.
Caranya mudah: mulakan dengan rutin penjagaan kulit wajah dan mekap seperti biasa, kemudian sapu bedak tabur atau bedak bayi pada keseluruhan wajah.
Selepas itu, celup muka anda ke dalam semangkuk air sejuk selama 30 saat!
Jangan lupa untuk lap wajah anda dengan sapu tangan atau tisu untuk lebihan air atau sisa bedak yang masih tinggal.
Apa yang teknik jamsu ini boleh lakukan ialah ianya akan menjadi kulit anda kurang berminyak dan dikatakan akan menjadikan solekan anda tahan sepanjang hari.
Selain itu, teknik jamsu ini juga dikatakan akan menjadikan kulit lebih lembut dan alat solek seperti penggaris mata, solekan kening dan aplikasi gincu lebih senang.
Setakat ini tiada bukti saintifik yang menyokong hujah mengapa teknik ini dikatakan sangat berkesan untuk menjadikan mekap anda tahan sepanjang hari dan bebas-kilat, tapi kalau teknik ini benar-benar elok dan bantu kaum wanita untuk kelihatan cantik, jadi tak salah mencuba kan.-VVANITA.MY