KUALA LUMPUR – Umat Islam diminta tidak mengundur ke belakang dengan cuba mengembalikan pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang jelas mempunyai rekod kurang baik terhadap agenda Islam.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, rakyat wajar menilai kembali gaya pemerintahan Mahathir dan sikapnya terhadap dakwah Islam sepanjang dekad pemerintahan beliau.
“Usah diharap seorang yang mempunyai rekod yang kurang baik terhadap agenda Islam seperti menghapuskan geran perkapita sekolah agama rakyat untuk kembali ke tampuk pemerintahan. Usah undur ke belakang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd Khairuddin turut menyeru kepada ilmuwan Islam termasuk mufti tertentu yang kelihatan `menari’ mengikut `tarian’ Mahathir menyerang PAS dalam agenda yang sama.
Menurut beliau, mufti berkenaan mengikut `tarian’ Mahathir dengan mendakwa `Amanat Hadi ‘ (ucapan lama Datuk Seri Abdul Hadi Awang) penyebab perpecahan umat Islam negara ini.
Kata beliau, hakikat sebenar pemecah belah adalah golongan yang lari daripada landasan Islam yang sebenar, bukan pendakwah yang menyeru manusia kembali kepada Islam.
“Saya menyeru semua bersikap adil menilai `Amanat Hadi’ secara ilmiah dan akademik,” katanya.
Kata beliau, PAS tidak pernah mengkafirkan orang UMNO sebagaimana dakwaan Mahathir, sebaliknya menjelaskan dasar dan prinsip “amar makruf nahi mungkar” ketika itu.
Menurutnya, PAS menjelaskan perkara yang boleh membatalkan syahadah semasa pemerintahan Mahathir, bukan mengkafirkan orang UMNO seperti didakwa Mahathir.
Menurut beliau, ungkapan menghina Islam seperti kalau hukum potong tangan dilaksanakan maka kudung semua tangan orang Islam dan kalau laksanakan hukuman rejam, maka habislah batu di jalanan adalah ungkapan yang boleh menjadikan seorang muslim jatuh kufur.
“Mahathir dalam menyerang PAS sengaja membangkitkan isu kafir mengkafir bagi menanam kebencian terhadap PAS dan menjauhkan masyarakat Islam daripada PAS.
“Itu adalah strategi Mahathir ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri sebelum ini,” katanya. – MYNEWSHUB.CC