MEDIA pembangkang begitu rancak memainkan isu mengenai sebuah kuil di Bandar Seri Alam, Masai, Johor yang telah dirobohkan pada 11 Januari 2018 yang lalu.
Kita dapat lihat, mereka mempergunakan isu ini untuk menyerang terus kepada kerajaan negeri Johor tanpa mengkaji fakta-fakta penting dalam kes ini. Sebagai contoh, Liow Cai Tung, ADUN Johor Jaya.
Dalam Malaysiakini beliau menyatakan “The State Government should have held discussions before demolishing the temple”, seolah-olah tindakan merobohkan kuil dilakukan kerajaan negeri.
Perkara ini adalah sama sekali tidak benar dan merupakan fitnah yang besar. Ini adalah kerana tanah tersebut merupakan tanah milik persendirian dan kuil berkenaan dibina secara tidak sah (‘illegal’).
Pelbagai rundingan telah berlangsung secara konsisten sejak 2009 lagi dan kerajaan negeri Johor pernah menawarkan sebidang tanah baru kepada pihak pengurusan kuil tersebut, tetapi mereka enggan untuk berpindah.
Oleh yang demikian, pemilik tanah yang sah terpaksa menggunakan proses undang-undang dengan membawa isu ini ke mahkamah dan mahkamah telah memutuskan bahawa kuil tersebut dibina secara tidak sah.
Justeru ia perlu dipindahkan dengan serta merta dalam tempoh tiga bulan, dan jika gagal atau enggan, kuil tersebut akan dirobohkan atas kehendak pemilik tanah yang sah.
Namun selepas tiga bulan daripada perintah Mahkamah bertarikh 23 Julai 2017, pihak pengurusan kuil masih enggan pindah. Pemilik tanah tidak ada sebarang pilihan selain merobohkan kuil tersebut pada 13 Januari lalu.
Isu ini perlu dilihat daripada aspek perundangan iaitu ‘hakmilik tidak boleh sangkal’ atau ‘indefeability of title’ di mana pemilik tanah yang sah mempunyai hak untuk menguruskan tanah mengikut cara dan kehendak mereka.
Ia bukan daripada aspek politik ataupun emosi semata-mata. Saya berharap agar ahli politik pembangkang tidak menggunakan isu ini untuk berkempen kerana isu ini amat sensitif kerana ia melibatkan agama dan kepercayaan.
Jika pihak pembangkang terus menerus mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab, ia akan menyemarakan api perkauman yang kita tidak mahu lihat akibatnya.
CHIONG SEN HOW
Ahli Parlimen Belia Malaysia
Ahli Jawatankuasa Pemuda Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia