JELEBU – Seramai 28 mangsa daripada tujuh keluarga di Kampung Juntai, Simpang Pertang di sini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir kilat di kampung itu pagi tadi.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Jelebu hari ini, rumah mangsa mula dinaiki air sejak awal pagi ini berikutan hujan yang berpanjangan sejak malam tadi.
Pusat pemindahan di Balai Raya Kampung Juntai itu mula dibuka pada 3.45 pagi.
Agensi yang terlibat dalam operasi pemindahan itu ialah Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Kesihatan.
Katanya anggota agensi penyelamat sentiasa memantau dari semasa ke semasa sebagai langkah keselamatan dan bagi mengenal pasti penduduk yang perlu dipindahkan. – BERNAMA